Semoga pengorbanan mulia Allahyarham (gambar kecil) sebagai penderma organ menjadi amal jariah berterusan dan ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang beriman. Foto: Media sosial
Semoga pengorbanan mulia Allahyarham (gambar kecil) sebagai penderma organ menjadi amal jariah berterusan dan ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang beriman. Foto: Media sosial

Pemergian Allahyarham Nabil Izz Qaisar buat ramai menitiskan air mata - 'Anak baik ini tidak 'pulang' begitu sahaja'

29 Jul 2026 11:22am

Masih terlalu muda untuk pergi, namun Allahyarham Nabil Izz Qaisar Mohd Zairee meninggalkan dunia dengan sebuah pengorbanan yang membuatkan ramai tidak mampu menahan sebak.

Pelajar Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Selangor berusia 19 tahun itu menghembuskan nafas terakhir, tetapi kasih dan keprihatinannya terhadap insan lain tidak berakhir di situ apabila organ yang didermakannya bakal menjadi sinar harapan kepada pesakit yang memerlukan.

Kisah tersebut mengundang ribuan ucapan takziah dan doa daripada orang ramai yang menyifatkan Allahyarham sebagai insan berhati mulia kerana memilih untuk terus memberi walaupun selepas pemergiannya.

Allahyarham Nabil Izz Qaisar yang disahkan meninggal dunia pada jam 3.50 petang Isnin telah diberikan penghormatan terakhir oleh warga perubatan Hospital Selayang menerusi honour walk sebelum dibawa ke dewan bedah bagi menjalani prosedur pendermaan organ.

Dalam hantaran di Facebook Jabatan Perdagangan PSIS, pihak jabatan menzahirkan doa agar segala pengorbanan arwah diterima sebagai amal jariah yang berkekalan.

"Semoga pengorbanan mulia Allahyarham sebagai penderma organ menjadi amal jariah yang berterusan, diterima oleh ALLAH SWT, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman.," kongsinya pada Selasa.

Sementara itu, Allahyarham yang merupakan pelajar Diploma Kewangan Islam, Jabatan Perdagangan PSIS turut menerima limpahan doa daripada warga maya.

Ruangan komen dibanjiri ucapan takziah daripada netizen yang mengakui tersentuh dengan keikhlasan Allahyarham.

"Mulianya adik ini. Perginya membawa kehidupan kepada orang lain," tulis seorang pengguna.

Artikel Berkaitan:

"Semoga setiap organ yang memberi nafas baharu kepada insan lain menjadi pahala yang tidak pernah putus buat arwah," doa seorang lagi.

Dalam pada itu, bekas guru kelas Allahyarham dikenali Hizandie Shuaib turut berkongsi mengenai peribadi bekas anak didiknya yang disifatkan seorang anak yang baik.

Katanya, pemergian Allahyarham bukanlah satu kehilangan yang sia-sia kerana masih meninggalkan manfaat kepada orang lain.

"Anak yang baik ini tidak pulang begitu sahaja. Pukul 3 pagi nanti, arwah akan menjalani prosedur pembedahan derma organ yang akan menjadi amal jariah terakhir arwah sebagai bekalan akhirat.

"Moga memberi manfaat besar kepada bakal penerima organ yang memerlukan nanti," katanya menerusi Facebook baru-baru ini. 

Akhir sekali, Sinar Bestari merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Nabil Izz Qaisar.

Semoga Allahyarham mendapat rahmat dan keampunan ALLAH manakala pendermaan organ yang dilakukan menjadi amal jariah berpanjangan buatnya. 

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp