No Image Caption

Tiada unsur buli, pelajar SMA Khairiah jalani rawatan skizofrenia sejak Mei lalu

29 Jul 2026 02:24pm

Polis mengesahkan insiden membabitkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua di Sekolah Menengah Agama (SMA) Khairiah, Kuala Terengganu pada Selasa, tidak mempunyai kaitan dengan unsur buli.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, hasil siasatan awal mendapati pelajar berusia 14 tahun itu menghidap skizofrenia sejak Mei lalu, kini sedang menjalani rawatan serta pemantauan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Menurut beliau, keadaan kesihatan mental pelajar itu telah dimaklumkan kepada ibu bapanya serta pihak pentadbiran sekolah, sekali gus membolehkan pelbagai langkah sokongan dilaksanakan bagi memastikan kebajikan dan keselamatannya terus terpelihara.

"Pelajar itu menerima rawatan terakhir pada 14 Julai lalu dan dijadualkan menjalani rawatan susulan pada 15 September nanti," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan tindakan pantas Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berjaya menenangkan pelajar berkenaan yang berada dalam keadaan emosi tidak stabil di tingkat dua bangunan sekolah.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, beliau mengambil masa sekitar 10 minit untuk memujuk pelajar tersebut sehingga keadaan kembali terkawal.

Mengulas lanjut, Mohd Khairi berkata, pihak sekolah telah mengambil pelbagai langkah intervensi lebih awal termasuk merujuk pelajar itu kepada guru kaunseling sebanyak 11 sesi serta mengadakan lima sesi konsultasi bersama ibu bapanya.

Katanya, pemantauan akan diteruskan melalui sesi perjumpaan berkala bersama guru kaunseling bagi memastikan perkembangan emosi dan kesejahteraan pelajar sentiasa diberi perhatian.

Selain itu, pihak sekolah turut melaksanakan langkah keselamatan dengan menempatkan pelajar itu di kelas aras bawah serta memastikan rakan-rakan sentiasa menemaninya sepanjang berada di sekolah.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai langkah pencegahan dan kawalan, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) akan terus memantau perkembangan kes ini secara berterusan," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau mengaitkan kejadian tersebut dengan dakwaan tidak berasas yang boleh mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.

"Hasil siasatan setakat ini mendapati tiada sebarang unsur buli yang menjadi punca kejadian," tegasnya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan gambar, rakaman video atau kandungan berkaitan insiden tersebut di media sosial kerana tindakan sedemikian boleh mengaibkan mangsa serta keluarganya.

Tambah beliau, penyebaran kandungan yang menyalahi undang-undang boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Mohd Khairi berkata, semua pihak perlu menghormati privasi pelajar dan keluarganya bagi memberi ruang kepada pihak hospital meneruskan rawatan, di samping membolehkan polis menjalankan pemantauan yang sewajarnya.

Insiden ini juga menjadi peringatan bahawa isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar memerlukan sokongan menyeluruh daripada keluarga, pihak sekolah, rakan sebaya dan masyarakat. Pendekatan yang berasaskan empati, intervensi awal serta kerjasama pelbagai pihak amat penting bagi memastikan setiap murid mendapat bantuan yang diperlukan tanpa stigma atau diskriminasi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp