
Kepakaran alumni GIATMARA Subang luar biasa - 'Muhammad Firdaus antara anggota penting pasukan teknikal Hakim Danish'
Tidak ramai yang mengenali nama Muhammad Firdaus Mukhazir.
Namun, di sebalik kejayaan pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli menjuarai Grand Prix Republik Czech di Brno baru-baru ini, anak muda berkenaan merupakan antara individu penting yang bekerja keras memastikan jentera perlumbaan berada pada tahap terbaik.
Menurut perkongsian Majlis Amanah Rakyat di Facebook, Muhammad Firdaus merupakan alumni Program Teknologi Motosikal GIATMARA Subang, Selangor bagi tahun 2017.
"Berbekalkan kemahiran yang dipelajari dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), beliau kini melakar kejayaan membanggakan apabila menjadi mekanik bersama pasukan ZK Racing/MSI Racing yang beraksi di pentas perlumbaan antarabangsa.

"Kepakaran dan pengalaman dimiliki Muhammad Firdaus membolehkan anak muda ini diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab penting bersama pasukan tersebut antaranya memastikan jentera pasukan sentiasa berada dalam keadaan optimum sepanjang musim perlumbaan.
"Kejayaan menempatkan diri dalam pasukan perlumbaan bertaraf antarabangsa membuktikan bahawa bidang kemahiran mampu membuka peluang kerjaya yang luas dan berpotensi tinggi," menurut hantaran itu pada Isnin.
Lebih membanggakan, hasil kepakaran dalam bidang permotoran profesional, Muhammad Firdaus kini memperoleh pendapatan sekitar RM9,000 hingga RM25,000 sebulan.

Pendapatan itu sekali gus membuktikan bahawa graduan TVET bukan sahaja memiliki kemahiran yang diperlukan industri, malah berpeluang menikmati kerjaya yang stabil dan lumayan jika terus mengasah kepakaran.
Tambah Majlis Amanah Rakyat lagi, pencapaian Muhammad Firdaus menjadi bukti graduan GIATMARA mampu bersaing dengan tenaga kerja terbaik di peringkat antarabangsa.
