Fadhlina berkata, dasar tersebut dirangka bagi menjamin perlindungan menyeluruh kepada semua pihak yang berurusan dengan murid.
Fadhlina berkata, dasar tersebut dirangka bagi menjamin perlindungan menyeluruh kepada semua pihak yang berurusan dengan murid.

Beri KPM ruang terangkan Polisi Perlindungan Murid secara menyeluruh - Fadhlina

13 Aug 2026 02:20pm

Warga pendidik diminta supaya bertenang dan memberi ruang kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memperincikan pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid Sekolah yang mencetuskan kegusaran banyak pihak baru-baru ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, dasar tersebut dirangka bagi menjamin perlindungan menyeluruh kepada semua pihak yang berurusan dengan murid, dengan mengutamakan aspek keselamatan murid, guru serta seluruh warga sekolah.

Beliau berkata, polisi itu turut menyediakan panduan terperinci berhubung tanggungjawab semua pihak serta tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku sesuatu insiden di sekolah.

"Saya telah meminta Ketua Pengarah Pendidikan dan Penasihat Undang-Undang KPM untuk mengadakan satu sesi khas bersama pemegang taruh bagi menjawab dan meneliti setiap kebimbangan yang dizahirkan oleh guru-guru.

"KPM komited untuk memastikan setiap pelaksanaan dibuat secara teliti dan bertanggungjawab demi mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Khamis.

Pelaksanaan polisi itu yang diumumkan menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) bertarikh 1 Julai lepas, mewajibkan warga sekolah dan pihak luar yang mempunyai urusan dengan sekolah serta warganya menandatangani Surat Aku Kepatuhan Polisi Perlindungan Murid Sekolah sebagai bukti komitmen terhadap keselamatan murid.

SPI berkenaan menggariskan lima fokus utama reformasi pendidikan iaitu kesihatan mental; pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, keganasan seksual kanak-kanak dan pencegahan bahan terlarang; polisi perlindungan murid dan kebajikan guru serta suara murid.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menerusi kenyataan berasingan memaklumkan, pihaknya sedang berusaha mengadakan rundingan dengan KPM supaya Aku Janji berkenaan ditarik balik dan digantikan dengan elemen lain yang lebih bersifat profesional.

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon berkata, pihaknya menyokong dan menyambut baik usaha KPM memastikan murid selamat, dilindungi dan sejahtera ketika berada di sekolah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, keperluan guru menandatangani Aku Janji itu adalah tidak wajar dan menidakkan usaha guru selama ini dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada murid dalam aspek perlindungan kepada mereka.

Beliau berpendapat, dokumen berkenaan berisiko mendedahkan guru kepada tindakan saman sivil oleh pihak plaintif pada masa hadapan.- Bernama

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp