
Jerebu: 647 sekolah Sarawak ditutup
Sebanyak 647 buah sekolah di Sarawak ditutup sementara selama lima hari bermula 7 hingga 11 September 2026 susulan keadaan jerebu yang menjejaskan beberapa kawasan di negeri itu.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dalam kenyataan rasmi memaklumkan, penutupan itu melibatkan 563 buah sekolah rendah membabitkan 108,477 murid, manakala 84 buah sekolah menengah melibatkan 90,082 murid.
Keputusan berkenaan dibuat berdasarkan pemantauan berterusan terhadap bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) sepanjang cuti persekolahan serta laporan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.
Penutupan itu melibatkan sekolah di bawah seliaan 12 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) iaitu PPD Kuching, PPD Padawan, PPD Bau, PPD Lundu, PPD Samarahan, PPD Simunjan, PPD Serian, PPD Sri Aman, PPD Lubok Antu, PPD Kanowit, PPD Julau dan PPD Meradong.
Sepanjang tempoh penutupan, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan bagi sekolah yang terjejas akibat fenomena jerebu. Pelaksanaan itu adalah selaras dengan peruntukan dalam Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 8 Tahun 2016: Garis Panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana.
JPN Sarawak turut mengingatkan semua institusi pendidikan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta merujuk panduan berkaitan pengurusan kesihatan dan keselamatan murid.
Selain itu, pihak sekolah dinasihatkan supaya peka dengan perkembangan semasa melalui portal rasmi Jabatan Alam Sekitar, Air Pollutant Index Management System (APIMS) bagi memantau tahap IPU di kawasan masing-masing.
Langkah berkenaan penting bagi memastikan aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan murid serta warga pendidikan terus menjadi keutamaan sepanjang keadaan jerebu berlaku.
JPN Sarawak memaklumkan sebarang perubahan atau maklumat terkini berkaitan penutupan sekolah akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.