
Lima guru hebat Malaysia mara ke pentas final 'RISE Educator Award 2026'
Taylor's College mengumumkan lima guru cemerlang terpilih sebagai finalis RISE Educator Award 2026, bagi mengiktiraf jasa golongan pendidik yang membawa impak luar biasa melangkaui peranan tradisional di dalam bilik darjah.
Dalam kenyataannya, Taylor's College memaklumkan kelima-lima finalis itu dipilih berdasarkan pendekatan inovatif masing-masing dalam membantu murid belajar, berkembang serta membuka peluang baharu untuk masa depan mereka.
Menurut kenyataan itu, penilaian juri dan pengundian awam berlangsung dari 24 Ogos lepas hingga 6 September dengan penilaian panel juri menyumbang 75 peratus daripada keputusan akhir dan baki 25 peratus menerusi undian awam.
"Setiap finalis mempunyai pendekatan tersendiri dalam membantu murid belajar, berkembang dan percaya bahawa lebih banyak perkara dapat dicapai," menurut kenyataan itu.
Antara finalisnya ialah Dr Zul Faizuddin Osman dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rual, Jeli, Kelantan, yang berjaya mentransformasikan sekolah Orang Asli di kawasan pedalaman itu menjadi pusat inovasi digital dan kecemerlangan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Beliau memperkenalkan inisiatif School of NFT pada 2021 dengan menggabungkan seni digital, kecerdasan buatan (AI) dan STEM dalam pembelajaran, yang menyumbang kepada peningkatan kadar kehadiran murid daripada 70.7 peratus kepada 82.8 peratus.
Turut tercalon, Mohamad Safuan Rozak dari SK Desa Jaya, Pahang, yang mencetuskan kelainan dalam pengajaran sains melalui muzik dengan menghasilkan lebih 40 lagu parodi pendidikan sehingga meraih empat juta tontonan di YouTube, selain mencatat kadar lulus Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) 100 peratus sejak 2022.
Sementara itu, Muhammad Hafizu Aiman Jusoh dari SK Pulat, Kelantan, menampilkan model 'Rumah Belajar Tanpa Loceng' bagi memastikan kelangsungan pendidikan komuniti Orang Asli Temiar di Pos Pulat yang terkesan akibat penempatan semula projek Empangan Nenggiri.
Turut tersenarai, Teh Zhen Kiat dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Sungai Buloh, Selangor pula mempertaruhkan pendekatan Think. Navigate. Create yang mengintegrasikan AI, STEM, reka bentuk dan teknologi (RBT) serta keusahawanan bagi melahirkan generasi inovator muda.
Melengkapkan senarai finalis, Veronica Francis dari Sekolah Menengah Kebangsaan St. Bernadette's Convent, Batu Gajah, Perak yang memberi tumpuan kepada pembudayaan ekosistem STEM di sekolah menerusi pembelajaran berasaskan projek, eksperimen amali dan pemerkasaan teknologi digital.
Menurut kenyataan itu, panel juri terdiri daripada Timbalan Pengarah Sektor Dasar, Perancangan dan Penyelidikan Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Fadzliaton Zainudin; Pengarah Kampus Taylor's College, Josephine Tan; Ketua Pegawai Eksekutif Edvolution. Melissa Gomes dan penerima anugerah tahun lepas, Stefanus Lucas.
Setiap finalis akan dinilai berdasarkan usaha, inovasi dan impak sumbangan mereka kepada murid serta komuniti pendidikan secara keseluruhan.
Pemenang RISE Educator Award 2026 bakal membawa pulang hadiah RM5,000 tunai, manakala pencalon menerima RM500 dan dana tajaan untuk sekolah berjumlah RM50,000 bagi menyokong inisiatif pembangunan pendidikan seterusnya.
Empat finalis lagi masing-masing akan menerima RM1,000 tunai dan tajaan untuk sekolah berjumlah RM10,000. Orang ramai boleh mengundi guru pilihan mereka menerusi laman sesawang rasmi Taylor's College. - Bernama