Sheikh Muszaphar
Sheikh Muszaphar

Pilih sekolah, kenali diri...

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
07 Sep 2026 10:08am

Setiap murid mempunyai perjalanan pendidikan berbeza, ada yang bersedia untuk berdikari dan menyesuaikan diri dengan kehidupan berasrama, manakala tidak kurang berkembang apabila berada dekat dengan keluarga. 

Jadi, ibu bapa perlu memahami keperluan anak-anak sebelum mendaftarkan mereka semasa membuat pemilihan sekolah. 

Sekolah mana yang terbaik untuk murid-murid? 

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor berkata, persoalan yang timbul ini sering bermain di fikiran ibu bapa terutama apabila keputusan peperiksaan utama diumumkan. 

Namun, menurutnya, sebelum mengejar nama sekolah, mungkin ada soalan yang lebih penting untuk dijawab bahawa apa yang diperlukan oleh anak? 

“Hakikatnya, tiada jawapan mutlak sama ada sekolah berasrama atau sekolah harian lebih baik. 

“Setiap anak mempunyai keperibadian, tahap kematangan, minat dan keperluan pembelajaran yang berbeza,” katanya kepada Sinar Bestari.

Mengulas lanjut, tambah Sheikh Muszaphar, sekolah berasrama menawarkan ekosistem pembelajaran tersusun melalui rutin berjadual, budaya berdikari dan interaksi bersama rakan daripada pelbagai latar belakang. 

“Pengalaman ini dapat membantu membina disiplin diri, kemahiran mengurus masa dan keupayaan menyesuaikan diri. 

Artikel Berkaitan:

“Tetapi kalau sekolah harian ini ada kelebihan tersendiri. Kehadiran ibu bapa dalam rutin harian membolehkan sokongan emosi, pemantauan pembelajaran dan pembentukan nilai dilakukan secara lebih konsisten,” ujarnya. 

Sekolah bukan penentu segalanya.

Memilih sekolah bukan sekadar melihat nama, pencapaian atau kemudahan yang ditawarkan. 

Di sebalik setiap pilihan, ada seorang anak dengan keperibadian, minat dan keperluan yang berbeza. 

Sheikh Muszaphar melihat jenis sekolah hanyalah salah satu komponen dalam ekosistem pendidikan. 

Katanya lagi, motivasi dalaman, budaya membaca, hubungan positif dengan guru, sokongan keluarga dan kesejahteraan emosi turut memainkan peranan dalam perkembangan pelajar. 

“Persekitaran yang menggalakkan murid bertanya, membaca, berbincang dan meneroka idea baharu mampu menyemai minat belajar secara berterusan, termasuk dalam bidang Sains. 

“Kesediaan anak juga perlu diberi perhatian kerana kehidupan berasrama memerlukan tahap kemandirian dan kematangan emosi yang lebih tinggi. 

“Ada pelajar yang mudah menyesuaikan diri, manakala ada yang memerlukan masa dan sokongan sebelum bersedia berjauhan daripada keluarga,” katanya lagi. 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp