
Asrama, sediakah murid?
Kesediaan diri penting bagi membantu murid menyesuaikan diri dengan kehidupan berasrama
“Anak saya sesuai ke duduk asrama?”
Inilah antara persoalan yang mungkin kedengaran mudah tetapi jawapannya tidak semudah ‘ya’ atau ‘tidak’.
Guru Bimbingan dan Kaunseling, Abdul Muiez Mohammad Ruslee berkata, keputusan itu perlu dilihat berdasarkan keperluan dan keadaan setiap murid, bukan semata-mata persepsi terhadap sekolah.
“Bagi sesetengah keluarga, asrama menjadi pilihan yang praktikal. Ada ibu bapa yang berdepan kekangan kerja sehingga sukar mengurus rutin anak di rumah.
“Ada pula murid daripada keluarga kurang berkemampuan yang mendapat kemudahan kehidupan lebih kondusif di asrama, termasuk makanan dan tempat tinggal.
“Bukan itu sahaja, ada juga murid memerlukan suasana lebih tersusun untuk belajar, tinggal bersama datuk dan nenek di kampung atau berasal dari kawasan pedalaman.
“Dalam keadaan tertentu, asrama bukan sekadar pilihan, tetapi menjadi jalan terbaik untuk memastikan pendidikan mereka terus berjalan,” katanya.
Asrama hari ini bukan lagi seperti yang dibayangkan ramai kerana kemudahannya semakin lengkap, malah murid turut menikmati mesin basuh, air minuman bertapis, bilik multimedia dengan Wi-Fi, bilik rehat, bilik tontonan dan bilik sakit.
Tambah Abdul Muiez, soal pemakanan juga diberi perhatian iaitu mereka menerima lima hidangan sehari berdasarkan menu yang ditetapkan kerajaan.
“Setiap hidangan mempunyai sukatan berat tertentu bagi membantu memastikan pengambilan gizi yang seimbang,” katanya lagi.
Bukan itu sahaja, murid yang baru berusia 12 tahun mungkin belum benar-benar memahami kehidupan di asrama dan boleh mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan rutin baharu.
“Ibu bapa juga disaran tidak terlalu cepat mengalah apabila anak merungut mahu pulang. Berikan ruang untuk mereka menyesuaikan diri dan mendapatkan sokongan guru bimbingan dan kaunseling.
“Jika wujud isu seperti buli atau kecurian, kebimbangan anak perlu diberi perhatian dan ditangani melalui saluran yang betul.
“Asrama yang baik bukan sekadar menyediakan tempat tidur, tetapi persekitaran yang membantu anak belajar berdikari, membina disiplin dan berkembang sebagai individu,” ujarnya.

Reaksi
"Saya memilih sekolah harian. Hal ini disebabkan di sekolah berasrama penuh (SBP), saya tidak dapat pemantauan daripada ibu bapa. Mungkin juga akan menyebabkan risiko buli yang tinggi.
“Apabila belajar di rumah, saya akan lebih fokus dengan baik kerana mendapat sokongan penuh daripada keluarga.
"Selain itu, apabila tinggal di rumah, saya dan keluarga dapat mencipta lebih banyak kenangan manis.” - Murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning, Arissa Batrisyia Mohd Hafiize, 13.
"Saya memilih sekolah harian berbanding sekolah berasrama kerana amat mementingkan kesejahteraan emosi dan persekitaran yang kondusif.
“Saya lebih selesa berada bersama keluarga dan dikelilingi rakan-rakan yang positif serta saling menyokong. Bagi saya, hubungan yang harmoni daripada orang sekeliling menjadi pemangkin untuk meningkatkan motivasi, keyakinan diri dan kecemerlangan dalam pelajaran.” - Murid SMK Sri Andalas, Aimi Najwa Ahmad Nizam, 16.
"Saya memilih sekolah harian supaya saya dapat meluangkan masa bersama keluarga dan kawan-kawan di luar sekolah.
“Saya lebih gemar meluangkan lebih banyak masa di rumah bersama keluarga tersayang.” - Murid Sekolah Agama Menengah Nurul Iman, Nur Amni Afrina Mohamad Ezalee, 13.

"Saya memilih sekolah berasrama kerana sekolah berasrama penuh (SBP) merupakan sekolah yang sangat mementingkan disiplin yang ketat.
"Saya mahu tinggal di asrama kerana saya ingin menjadi seorang yang lebih berdisiplin, amanah dan bertanggungjawab.
“Saya lebih suka tinggal di asrama kerana saya akan lebih mementingkan atau mematuhi jadual belajar. Jika berada di rumah, saya tidak dapat mengikuti jadual belajar saya dengan konsisten.
"Persekitaran pembelajaran di SBP akan membantu saya untuk belajar dengan lebih baik dan berkesan.” - Murid SMK Kota Kemuning,
Puteri Aufa Ranadhania Ahmad Afzanizam, 13.

