Bagi kategori sekolah menengah, SMK Bercham, Perak muncul sebagai Johan Kategori Video TV PSS Terbaik. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Bagi kategori sekolah menengah, SMK Bercham, Perak muncul sebagai Johan Kategori Video TV PSS Terbaik. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

SMK Bercham ungguli Anugerah Video TV PSS Terbaik!

MOHD AZLIM ZAINURYMOHD AZLIM ZAINURY
25 Sep 2026 03:24pm

Percaturan dan strategi penganjuran comeback yang disusun sejak dua tahun lalu akhirnya membuahkan hasil manis apabila Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bercham dinobatkan sebagai Johan Anugerah Video TV PSS Terbaik (Sekolah Menengah) pada Festival TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2026.

Pengetuanya, Mohd Zuhair Azuar Arifin berkata, susulan kejayaan meraih gelaran Naib Johan pada tahun 2024, pihak sekolah mula mengatur strategi sepanjang 2025 dengan memfokuskan kepada kriteria penilaian tertentu seperti aspek lakonan dan pengacaraan.

"Alhamdulillah, usaha tersebut membuahkan hasil pada 2026 apabila kami berjaya meraih kejayaan cemerlang. Hampir kesemua kategori dipertandingkan berjaya dimenangi sebagai Johan, manakala satu kategori iaitu Pelakon Terbaik meraih Naib Johan.

"Kejayaan ini dijayakan oleh seramai 15 pelajar PSS bersama empat guru pembimbing di bawah semangat #demijiwaberchampian. Kami juga amat terhutang budi kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara yang banyak membantu kebitaraan sekolah," katanya.

SK Panudahan bukti keupayaan sekolah pedalaman

​Sementara itu, kekurangan kemudahan di sekolah pedalaman bukan penghalang untuk menyerlahkan potensi diri, sebaliknya menjadi pembakar semangat buat Sekolah Kebangsaan (SK) Panudahan Kudat, Sabah hingga dinobatkan Johan Anugerah Video TV PSS Terbaik (Sekolah Rendah) pada Festival TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2026.

​Guru Penyelaras PSS SK Panudahan, Mohd Khairul Azree Mohd Darawi berkata, rahsia kejayaan pasukan TV PSS 'Ramisan' sekolah itu adalah dengan mengetengahkan realiti dan kisah kehidupan seharian di sekolah pedalaman.

​"Kami mahu ketengahkan cerita sekolah pedalaman mengenai bagaimana kami melalui hari-hari yang penuh dengan kekurangan jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah di bandar.

"Dari kekurangan itulah kami mahu tonjolkan bahawa kami juga mampu bersaing bersama sekolah-sekolah hebat di bandar. Kekurangan itu bukan satu halangan, sebaliknya kami berjuang bersama-sama," katanya ketika ditemui pada majlis kemuncak festival berkenaan di Hotel Premiere, Bukit Tinggi, Klang, Selangor.

Artikel Berkaitan:

​Mohd Khairul Azree yang dibantu seorang lagi guru penyelaras, Mohamad Harith Janius berkata, walaupun berdepan kekangan, sokongan penuh daripada Guru Besar SK Panudahan, Palajuman Mongangkim menjadi pendorong utama kejayaan mereka.

​Beliau berkata, secara keseluruhan kru TV PSS sekolah itu dianggotai seramai 10 murid, namun hanya empat orang murid dipilih mewakili sekolah ke festival berkenaan iaitu Enelyvia (Tahun 5) serta Oliver, Elverdo dan Deashea yang kesemuanya murid Tahun 6.

"Walaupun dari segi kuantiti kami kurang, kami mahu memberikan kualiti yang terbaik," katanya.

​Kejayaan cemerlang SK Panudahan itu sekali gus membuktikan sokongan padu dan kesungguhan warga sekolah pedalaman mampu membuahkan hasil membanggakan di peringkat kebangsaan.

Festival anjuran Sinar Bestari dengan kerjasama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan (KPM) itu berlangsung di Hotel Premiere, Bukit Tinggi di sini dari 22 hingga 25 September 2026 dengan menghimpunkan lebih 40 murid dan guru daripada 30 sekolah di seluruh negara.

Kemuncak majlis yang bertemakan 'Kemanusiaan, Kemasyarakatan dan Hormat-menghormati' itu diserikan dengan keberangkatan Tengku Datuk Dr Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj bersama Datin Hezeita Mohd Hafidz.

Majlis kemuncak itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin, Pengarah BSTP, Aniza Kamarulzaman, serta wakil rakan strategik utama program, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

PAAB merupakan rakan strategik Festival TV PSS Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2026, manakala penganjuran turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk GGR Motor Sdn Bhd, Nemo Manja Fragrance, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Ablefarm, Samudra Food, Sasbadi dan LAMA.

​Penganjuran festival ini terus memperkukuh peranan TV PSS sebagai platform pendidikan yang menggabungkan kreativiti, komunikasi, teknologi dan nilai kemanusiaan dalam melahirkan generasi masa depan yang berdaya saing.

INFO

SENARAI KEPUTUSAN JOHAN, NAIB JOHAN DAN TEMPAT KETIGA 

Video TV PSS Terbaik (Sekolah Rendah)

  • SK Panudahan, Sabah
  • SK Putrajaya Presint 5(1), WP Putrajaya
  • SK Bukit Gambir, Pulau Pinang

Video TV PSS Terbaik (Sekolah Menengah)

  • SMK Bercham, Perak
  • SMK Rancha-Rancha, WP Labuan
  • SMK Agama Haji Mohd Yassin, Johor

Skrip TV PSS Terbaik (Sekolah Rendah)

  • SK Putrajaya Presint 5(1), WP Putrajaya
  • SK Panudahan, Sabah
  • SK Bandar Jerantut, Pahang

Skrip TV PSS Terbaik (Sekolah Menengah)

  • SMK Bercham, Perak
  • SMK Bandar Baru Serting, Negeri Sembilan
  • SMK Dato’ Razali Ismail, Terengganu

Jurukamera TV PSS Terbaik (Sekolah Rendah)

  • Annur Qaireena Mohd Saiful - SK Bukit Gambir, Pulau Pinang
  • Muhammad Haidar Rifaie Ahmad Hambali - SK Putrajaya Presint 5(1), WP Putrajaya
  • Adriana Sulau Lily - SK Long Lapok, Sarawak

Jurukamera TV PSS Terbaik (Sekolah Menengah)

  • Muhammad Afiq Hakim Mohd Anuar - SMK Bercham, Perak
  • Nur Adelia Qisya Amri - SMK Agama (P) Alawiyah, Perlis
  • Sharifah Fara Damia Syed Mustaza - SMK Sri Mahkota, Melaka

Penyunting TV PSS Terbaik (Sekolah Rendah)

  • Khalisha Amani Ahmad Khairunnizam - SK Putrajaya Presint 5(1), WP Putrajaya
  • Oliver Ethaniel Honny - SK Panudahan, Sabah
  • Nur Iman Ayreen Abdul Jalil - SK Bukit Gambir, Pulau Pinang

Penyunting TV PSS Terbaik (Sekolah Menengah)

  • Fyrras Nurwazif Shaipul - SMK Bercham, Perak
  • Ahmad Shafiq Nasution Ahmad Shakir Nasution - SMK Bandar Baru Serting, Negeri Sembilan
  • Ashraf Badlishah Asmadi - SMK Pendidikan Khas Setapak, WP Kuala Lumpur

Pengacara TV PSS Terbaik (Sekolah Rendah)

  • Nur Rohushsyifa' Mohd Norasyiq - SK Bandar Jerantut, Pahang
  • Nur Amani Amanda Arman - SJKC Chi Wen, WP Labuan
  • Wan Ayesha Irdina Wan Mohd Nadzri - SK Datu’ Hashim, Kelantan

Pengacara TV PSS Terbaik (Sekolah Menengah)

  • Zayna Natasha Eiman Abdul Halim - SMK Bercham, Perak
  • Muhammad Imtiyaaz Fakhrullah Anuar - SMK Putrajaya Presint 9(2), WP Putrajaya
  • Wan Jasmeen Aina Wan Mohd Nazir - SMK Agama (P) Alawiyah, Perlis

Pelakon TV PSS Terbaik (Sekolah Rendah)

  • Noah Norazmi - SK Putrajaya Presint 5(1), WP Putrajaya
  • Mohamad Reyzal Qhalif Mohd Radizan - SK Kampung Baru Sirusa, Negeri Sembilan
  • Muhammad Fahim Aqil Mohamed Faisal - SK Batu Anam, Johor

Pelakon TV PSS Terbaik (Sekolah Menengah)

  • Muhammad Alif Danial Firdaus - SMK Seri Pekan, Pahang
  • Nur Qistina Amani Abdul Rahman - SMK Bercham, Perak
  • Muhammad Daniel Iskandar Mohammad Firdaus - SMK Rancha - Rancha, WP Labuan

Pengarah TV PSS Terbaik (Sekolah Rendah)

  • Auni Ariana Mohd Noorfazlie - SK Putrajaya Presint 5(1), WP Putrajaya
  • Deashea Avery Danil Mulanda - SK Panudahan, Sabah
  • Nurkayla Mirza Mohd Hassan - SK Bukit Gambir, Pulau Pinang

Pengarah TV PSS Terbaik (Sekolah Menengah)

  • Tun Nureen Alya Qairyna Tun Zairul Iskandar - SMK Bercham, Perak
  • Nur Izrin Izzati Mohd Izzuddin Kamil - SMK Agama (P) Alawiyah, Perlis
  • Nur Umairah Damia Mohd Zuraimi - SMK Abdul Jalil, Selangor

Guru TV PSS Terbaik

  • Muhamad Faris Mohd Nasir - SK Patau-Patau, WP Labuan
  • Mohd Khairul Azree Mohd Darawi - SK Panudahan, Sabah
  • Yuslan Ibrahim - SK Kampung Baru Sirusa, Negeri Sembilan

Anugerah Khas

  • SMK Pendidikan Khas Setapak, WP Kuala Lumpur

 

 

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp