Muhamad Faris
Muhamad Faris

'Enggan jadi Guru Penyelaras TV PSS pada mulanya...'

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
28 Sep 2026 03:19pm

Bermula dengan tugas diberikan secara spontan, siapa sangka tanggungjawab sebagai penyelaras TV PSS akhirnya membawa pulang bersama sebuah motosikal elektrik (EV).

Lebih manis, motosikal elektrik daripada sebuah syarikat automotif tempatan iaitu GGR Motor Sdn Bhd, menjadi hadiah utama selepas Muhamad Faris Mohd Nasir dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Guru TV PSS Terbaik 2026, sekali gus melengkapkan perjalanan tiga tahun penuh cabaran dalam membangunkan TV PSS di sekolahnya.

“Alhamdulillah, memang tak sangka. Paling utama saya bersyukur kerana usaha yang dilakukan selama ini akhirnya membuahkan hasil,” katanya kepada Sinar Bestari.

Menurutnya, kemenangan tersebut bukan kejayaan peribadi semata-mata, sebaliknya hasil kerja bersama keluarga, guru dan paling utama murid-murid yang menjadi penggerak TV PSS di sekolah.

Anak kelahiran Perak yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan Labuan itu berkongsi, dia bersama murid membangunkan TV PSS dari sifar sehingga berjaya mencatat pelbagai pencapaian termasuk Johan Video Terbaik pada tahun lalu selain meraih empat anugerah serta kejayaan dalam Anugerah Tokoh NILAM Kebangsaan (ATNK).

“Kalau hendak dibandingkan, sekolah-sekolah di Semenanjung Malaysia memang lebih ke hadapan. Ketika saya mula masuk, studio pun tiada dan pusat sumber kami juga agak ketinggalan. Itulah yang menjadi kekuatan untuk kami terus berusaha,” ujarnya.

Lebih menarik, Muhamad Faris yang baru tiga tahun bergelar pendidik itu awalnya tidak pernah menyangka akan menggalas tanggungjawab tersebut.

Malah, Muhamad Faris mengakui tugasnya bermula selepas seorang pegawai Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) yang pernah menjadi Guru Perpustakaan dan Media (GPM) di sekolahnya mencadangkan namanya sebagai penyelaras TV PSS.

Berbekalkan pengalaman dalam bidang penyuntingan sejak zaman sekolah hingga universiti, Muhamad Faris menerima cabaran itu dan terus belajar bersama murid serta GPM sekolah.

Artikel Berkaitan:

Kini, motosikal EV yang dibawa pulang bukan sekadar hadiah kemenangan, tetapi simbol bahawa tugasan yang diterima dengan penuh tanggungjawab mampu membuka ruang kepada pencapaian lebih besar.

“Kalau apa-apa tugas atau cabaran diberikan, kita buat dengan baik dan ambil tanggungjawab itu. Jangan mengeluh, insya-ALLAH boleh,” kongsinya. 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp