PPAH gegar K-SEMANIS'26, bawa pulang 13 anugerah

19 Oct 2026 01:20pm

Pusat Pendidikan Al-Hikmah (PPAH) membuktikan keupayaannya dalam bidang inovasi pendidikan apabila berjaya meraih 13 anugerah menerusi penyertaan dalam Seminar Menjana Aspirasi Naratif Inovasi Selangor (K-SEMANIS’26) yang berlangsung di Wyndham Acmar, Klang pada 4 dan 5 Oktober lalu.

Kejayaan itu merangkumi satu anugerah platinum, empat emas, lima perak dan tiga gangsa menerusi beberapa kategori yang mengetengahkan kajian tindakan, inovasi serta amalan terbaik dalam pendidikan.

K-SEMANIS’26 merupakan program tahunan anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) bagi menyemarakkan budaya penyelidikan, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pendigitalan serta inovasi dalam kalangan guru dan murid.

Antara pencapaian utama PPAH ialah kejayaan meraih satu platinum dan tiga emas menerusi kategori Poster Digital Inovasi dan Poster Digital Kajian Tindakan. Ketiga-tiga penerima anugerah emas itu turut berjaya menempatkan PPAH dalam kelompok 10 terbaik.

Dalam kategori Bicara Amalan Terbaik pula, PPAH memperoleh satu emas, empat perak dan tiga gangsa. Sementara itu, penyertaan murid Sekolah Menengah Islam Al-Hikmah (SMIAH) dalam kategori Inovasi Murid turut membuahkan hasil apabila berjaya meraih pingat perak.

Pencapaian tersebut mencerminkan komitmen PPAH dalam menyediakan peluang kepada guru untuk mengetengahkan idea, kajian, inovasi dan amalan terbaik yang dilaksanakan dalam bidang pendidikan.

Usaha itu turut mendapat sokongan serta bimbingan Jabatan Operasi Pendidikan (JOP) yang sentiasa mendorong guru mengembangkan potensi, berkongsi amalan dan menyertai platform profesional bagi memperluas pengalaman serta pengetahuan dalam bidang pendidikan.

Pengurus Besar Jabatan Operasi Pendidikan PPAH, Muallim Mohd Fairul Nafazli Md Nazin, merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada seluruh pasukan yang terlibat dalam menjayakan penyertaan berkenaan.

“Alhamdulillah, setinggi-tinggi tahniah dan syabas saya ucapkan kepada seluruh pasukan

Artikel Berkaitan:

K-SEMANIS PPAH 2026 atas keberanian menyahut cabaran, kesungguhan menghasilkan inovasi serta komitmen mempersembahkan amalan terbaik pendidikan di pentas yang lebih luas.

“Bagi saya, kejayaan sebenar bukan semata-mata diukur melalui jumlah pingat yang dimenangi, tetapi melalui kesediaan para guru untuk terus belajar, melakukan penambahbaikan, berkongsi kepakaran dan membudayakan inovasi dalam pengajaran serta pembelajaran.

“Lebih membanggakan, ini merupakan tahun kedua penyertaan PPAH dalam K-SEMANIS. Pencapaian ini membuktikan bahawa warga pendidik Al-Hikmah mempunyai potensi besar untuk terus melangkah maju dan mampu bersaing dalam mengetengahkan inovasi pendidikan yang berkualiti.

“Semoga kejayaan ini menjadi titik tolak untuk kita terus memperkukuh budaya penyelidikan, inovasi dan kecemerlangan pendidikan, sekali gus memberikan impak yang lebih bermakna kepada pembangunan sahsiah, akademik dan kemenjadian murid,” katanya.

Beliau turut berharap agar lebih ramai guru PPAH tampil berkongsi hasil kajian tindakan, inovasi dan amalan terbaik pada masa hadapan. Usaha itu diharapkan dapat menjadikan penyertaan dalam platform profesional sebagai sebahagian daripada budaya pembangunan kompetensi guru secara berterusan.

"Penyertaan dalam K-SEMANIS’26 bukan sekadar medan pertandingan, malah membuka ruang kepada warga pendidik dan murid untuk berkongsi idea, kajian serta inovasi yang dibangunkan berdasarkan pengalaman dan keperluan sebenar dalam ekosistem pendidikan," katanya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp