Menerusi latihan berkenaan, peserta diberikan pendedahan tentang teknik Hands-Only CPR atau resusitasi kardiopulmonari menggunakan tekanan dada sahaja serta cara menggunakan alat AED. 
Menerusi latihan berkenaan, peserta diberikan pendedahan tentang teknik Hands-Only CPR atau resusitasi kardiopulmonari menggunakan tekanan dada sahaja serta cara menggunakan alat AED. 

Guru & pelajar dilatih jadi jurulatih kecemasan, ilmu FRLS diperluas ke sekolah

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
21 Oct 2026 02:11pm

Apa yang perlu dilakukan apabila seseorang tiba-tiba rebah di hadapan mata?

Dalam situasi seperti ini, tindakan awal orang di sekeliling boleh menjadi sangat penting sementara menunggu bantuan perubatan tiba.

Menyedari kepentingan ilmu bantuan kecemasan, Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) mengambil inisiatif melatih guru dan pelajar sekolah menengah menerusi Program First Responder Life Support (FRLS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Titingan, Tawau, Sabah baru-baru ini.

Program selama dua hari itu dilaksanakan melalui kerjasama Jabatan Perubatan Kecemasan HUMS, Pusat Uberisasi Kesihatan Komuniti dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Menariknya, program tersebut melibatkan guru dan pelajar daripada lima sekolah menengah iaitu SMK Titingan, SMK Tawau, SMK Jalan Apas, SMK Pasir Putih dan SMK Balung.

Menerusi latihan berkenaan, peserta diberikan pendedahan tentang teknik Hands-Only CPR atau resusitasi kardiopulmonari menggunakan tekanan dada sahaja serta cara menggunakan alat Automated External Defibrillator (AED). 

Kemahiran ini penting untuk membantu peserta memahami tindakan awal yang boleh diambil apabila berdepan situasi kecemasan khususnya kes henti jantung di luar hospital. 

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Penyelaras FRLS, Dr Jamariah Jamadi berkata, program itu bukan sekadar memberikan ilmu kepada peserta, malah bertujuan melatih guru dan pelajar menjadi jurulatih FRLS di sekolah masing-masing.

Menurutnya, pendekatan itu membolehkan ilmu dan kemahiran yang dipelajari dikongsikan kepada lebih ramai warga sekolah secara berperingkat.

Jamariah berkata, program berkenaan menerima maklum balas positif daripada peserta melalui aktiviti praktikal dan kaedah pembelajaran interaktif.

"Bagi memastikan latihan dapat diteruskan di sekolah, pihak penganjur turut menyumbangkan set manekin CPR, kit pertolongan cemas dan sijil penyertaan kepada semua sekolah yang terlibat.

"Kemudahan itu membolehkan sekolah mempunyai peralatan asas untuk menyokong latihan dan perkongsian ilmu bantuan kecemasan dalam kalangan warga sekolah," katanya.

Menurut beliau, pihaknya berharap program itu dapat diperluas ke lebih banyak sekolah, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman di Sabah, supaya lebih ramai guru dan pelajar mendapat peluang mempelajari kemahiran berkenaan.

Untuk rekod, penganjuran kali ini merupakan kali ketujuh sejak inisiatif FRLS diperkenalkan oleh HUMS.

Semoga usaha ini menjadi langkah penting dalam melahirkan warga sekolah yang bukan sahaja peka terhadap keselamatan, malah mempunyai pengetahuan untuk memberikan bantuan awal dengan sewajarnya apabila berdepan kecemasan.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp