
e-IHAB sebarkan amalan baik murid, cipta kejayaan di pentas antarabangsa
Usaha menyemai budaya positif dalam kalangan murid menerusi perkongsian amalan baik membuahkan hasil apabila inovasi e-IHAB hasil kreativiti empat guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Puncak Alam, Selangor berjaya meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Pasukan yang terdiri daripada Mohd Izzuwan Mahyudin, Nur Syaida Syafiah Baharudin, Nurul Izzah Mhd Shuib dan Muhammad Alias Omar itu berjaya membawa pulang Pingat Emas dalam International Vocational Education Competition serta Pingat Perak menerusi International Innovation and Entrepreneurship Expo 2026.
Pencapaian tersebut membuktikan bahawa usaha memperkukuh amalan baik dalam kalangan murid mampu diterjemahkan melalui inovasi pendidikan yang kreatif, sekali gus mendapat pengiktirafan di persada antarabangsa.
e-IHAB dibangunkan sebagai medium yang menggalakkan murid berkongsi amalan baik, menyemai budaya saling memberi inspirasi serta menerapkan nilai-nilai positif dalam kehidupan seharian.

Inisiatif itu bukan sekadar menjadi ruang perkongsian pengalaman positif, malah berperanan membantu membentuk sahsiah, memupuk nilai murni dan menggalakkan murid menjadikan amalan baik sebagai sebahagian daripada budaya kehidupan.
Menerusi pendekatan tersebut, murid bukan sahaja didorong untuk melakukan kebaikan, tetapi turut diberi ruang berkongsi pengalaman agar amalan positif itu dapat dicontohi dan menjadi inspirasi kepada rakan-rakan lain.
Kejayaan e-IHAB di dua pertandingan antarabangsa berkenaan sekali gus membuktikan bahawa inovasi pendidikan yang berteraskan pembentukan sahsiah mempunyai potensi besar untuk dikembangkan dan memberi manfaat lebih luas.
Sesungguhnya, e-IHAB membawa mesej bahawa setiap kebaikan wajar dikongsi kerana satu amalan positif mampu mencetuskan inspirasi dan melahirkan lebih banyak kebaikan dalam komuniti sekolah.