
Pengusaha kantin cipta robot AI bantu murid dapatkan maklumat harga makanan
Kreativiti seorang pengusaha kantin sekolah memanfaatkan bahan terpakai membolehkan beliau menghasilkan kotak robot kecerdasan buatan (AI) dengan kos hanya kira-kira RM300.
Razali Hassan, 62, yang juga bekas guru mata pelajaran Kemahiran Hidup mengambil masa lima hari untuk membina sendiri kotak AI berkenaan menggunakan papan lapis dan barangan terpakai sebelum menempatkannya di kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Jertih, Terengganu sejak September lepas.
Beliau berkata, kotak yang diberi nama AI Chat Robot itu mampu berinteraksi secara dua hala, sekali gus membolehkan murid mendapatkan maklumat dan nasihat, selain mengajukan soalan serta menerima respons secara langsung.
"Kotak itu dilengkapi dengan beberapa komponen elektronik termasuk pembesar suara, bateri dan amplifier manakala bahagian luarannya dibina sendiri serta dihiasi pelekat supaya kelihatan lebih menarik dan mesra kanak-kanak.
"Sebahagian besar bahan yang digunakan ialah barang terpakai yang saya olah semula. Kami hanya membeli komponen tertentu, terutama bateri dan amplifier yang juga antara bahagian paling mahal," katanya ketika ditemui di SK Pusat Jertih, baru-baru ini.
Razali yang bersara kira-kira empat tahun lepas berkata, idea menghasilkan kotak robot itu tercetus daripada minat mendalam terhadap inovasi serta keinginan meneroka teknologi AI yang semakin berkembang.
"Sistem AI ini pada asalnya boleh menjawab pelbagai pertanyaan dan menetapkan watak khusus sebagai pembantu mesra murid yang mampu menjalankan fungsi seperti guru, kaunselor dan guru disiplin.
"AI Chat Robot ini boleh memberikan maklumat mengenai harga makanan di kantin, mengingatkan murid supaya membaca doa sebelum makan serta menyampaikan nasihat berkaitan tingkah laku dan amalan pemakanan yang baik," katanya.
Selain itu, beliau berkata, kandungan program robot itu boleh disesuaikan dengan keperluan pembelajaran seperti bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, sekali gus menjadikan interaksi bersama robot sebagai satu kaedah pembelajaran tidak formal.
Razali berkata, pendekatan komunikasi dua hala itu turut membantu meningkatkan keyakinan murid menggunakan bahasa Inggeris kerana mereka berpeluang berkomunikasi tanpa tekanan suasana bilik darjah.
"Pada mulanya, ada murid yang malu dan takut apabila robot bertanya soalan mudah seperti What is your name?, malah ada yang terus melarikan diri. Bagaimanapun, selepas beberapa kali berinteraksi, mereka mula berani mendekati robot dan menjawab dalam bahasa Inggeris secara sederhana. Perubahan itu menunjukkan mereka semakin yakin untuk bercakap," katanya.
Beliau berkata, robot itu turut membiasakan murid menggunakan bahasa yang betul ketika berkomunikasi, meskipun ia boleh disesuaikan dengan dialek tempatan.
"Arahan atau programnya juga dikemas kini setiap minggu mengikut keperluan, termasuk aspek pembelajaran, penghargaan dan pembentukan disiplin.
"Sambutan yang diterima amat menggalakkan, terutama ketika waktu rehat apabila ramai murid mengambil peluang untuk berbual dengan robot itu sehingga ada kalanya tidak sempat melayani semua pertanyaan," katanya.
Beliau berkata, inovasi berkenaan turut mendapat perhatian sekolah lain yang menunjukkan minat untuk berkongsi pengalaman serta pengetahuan mengenai penggunaan teknologi robot AI dalam pendidikan. - Bernama