
173 murid serlah bakat di Karnival Prasekolahku Berhak Hebat Pahang 2025
Seramai 173 murid prasekolah bersama guru pengiring, pegawai pendidikan dan komuniti Pahang memeriahkan Karnival Prasekolahku Berhak Hebat Peringkat Negeri Pahang 2025 baru-baru ini.
Karnival yang berlangsung di Cheringin Resort, Janda Baik, Bentong, Pahang dianjurkan di bawah Inisiatif Transformasi Pendidikan Pahang dengan menekankan tiga fokus utama iaitu Pemerkasaan Potensi dan Bakat Murid (#1), Pemacu Transformasi Pendidikan (#8) dan Peneraju Transformasi Pendidikan (#9).
Ia dijalankan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang dengan kerjasama Genting Malaysia Bhd di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) 'Genting Bersama Malaysia' yang menyokong usaha pembangunan pendidikan awal kanak-kanak di negeri itu.
Sebanyak enam pertandingan menarik telah disediakan bagi memberi ruang kepada murid prasekolah menyerlahkan kebolehan masing-masing.
Antaranya ialah Fantasi Si Cilik, Mutiara Hadis, Pentas Boneka, Smart Digital, Pertandingan Tarian Lagu Rakyat dan Pakaian Beragam.
Melalui penyertaan ini, murid diberi peluang menonjolkan bakat, kreativiti dan kemahiran dalam pelbagai bidang seperti seni, sukan dan komunikasi sekali gus memperkukuh keyakinan diri serta potensi mereka sejak usia awal.
Menurut Pengarah Pendidikan Pahang, Ahmad Zamri Md Isa, inisiatif sebegini menunjukkan sektor swasta turut memainkan peranan penting dalam memajukan pendidikan negeri.

"Sokongan Genting Malaysia amat bermakna kerana ia memperlihatkan kesungguhan mereka untuk bersama-sama membina generasi masa depan.
"Hal ini selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan pembangunan insan," katanya.
Sebagai tanda sokongan, Genting Malaysia menyalurkan sumbangan makanan, minuman dan hadiah kepada para peserta di peringkat negeri dan daerah.
Sumbangan ini bukan sahaja mencerminkan komitmen syarikat terhadap pendidikan awal kanak-kanak malah menjadi dorongan kepada murid untuk terus menonjolkan bakat dan potensi diri.
Dalam masa sama, Genting Malaysia turut menganjurkan pertandingan mewarna bertemakan 'Percutian Impian Saya' yang melibatkan 50 murid prasekolah dari sekitar Kampung Janda Baik.
Pertandingan yang berlangsung di Kafe Cheringin Resort itu bertujuan mencungkil daya imaginasi dan bakat kreatif kanak-kanak.
Seramai 10 pemenang menerima hadiah sumbangan Genting Malaysia manakala peserta lain menerima sijil penyertaan sebagai penghargaan atas semangat mereka.
Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Resorts World Genting, Spencer Lee berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat menyokong perkembangan bakat generasi muda.
"Melalui Genting Bersama Malaysia, kami komited menyokong pendidikan awal kanak-kanak agar bakat, kreativiti dan keyakinan diri mereka dapat dipupuk sejak usia muda demi melahirkan generasi hebat masa depan," jelasnya.
Akhir sekali, Karnival Prasekolahku Berhak Hebat Peringkat Negeri Pahang 2025 ini bukan sahaja menjadi platform memupuk keyakinan, kreativiti dan bakat murid sejak usia awal, malah mengukuhkan jalinan kerjasama antara sekolah, ibu bapa, komuniti dan pihak swasta melalui sokongan CSR.
Melalui usaha berterusan ini, diharapkan generasi muda Pahang akan lahir sebagai insan hebat, kreatif serta berdaya saing seiring aspirasi pendidikan negara.