1,803 calon di Selangor peroleh A bagi semua subjek dalam SPM 2021
PETALING JAYA - Seramai 1,803 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Selangor memperoleh keputusan cemerlang A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran yang diduduki.
Daripada jumlah tersebut, seramai 57 orang memperolehi A+ bagi semua mata pelajaran yang diambil.
Menurut Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Rohayati Abd Hamed, Gred Purata Negeri (GPN) bagi Selangor mencatatkan 4.87 berbanding 4.90 pada SPM tahun 2020.
Ia sekali gus menunjukkan peningkatan yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya dengan penurunan GPN sebanyak 0.03.
Katanya, seramai 55,626 calon bersamaan 85.6 peratus calon layak mendapat sijil SPM 2021 daripada keseluruhan calon yang mendaftar.
“Daripada jumlah itu, seramai 34,944 (53.78 peratus) calon telah lulus semua mata pelajaran dan 14,152 (21.77 peratus) calon mendapat gred A+ hingga C (Gred Cemerlang hingga Kepujian),” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan (P) Sri Aman, di sini hari ini.
Tambah Rohayati, sebanyak 17 mata pelajaran telah mencapai 100 peratus lulus, 27 mata pelajaran menunjukkan peningkatan, 29 mata pelajaran menurun dan satu mata pelajaran kekal.
“Empat daripada tujuh mata pelajaran teras menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Sejarah.
“Bagi pencapaian mata pelajaran Sains Tulen SPM 2021 mencatatkan sedikit penurunan antaranya Biologi sebanyak -0.38 peratus, Fizik (-0.12 peratus), Kimia (-0.96 peratus) dan Matematik Tambahan (-3.68 peratus),” ujarnya.
Rohayati menjelaskan, pengurusan peperiksaan SPM 2021 memperlihatkan pelbagai cabaran dan perubahan yang banyak kerana ia berlangsung semasa situasi pandemik Covid-19.
“Banyak perubahan yang dapat kita saksikan terutamanya dari segi Prosedur Operasi Standard (SOP) pentadbiran di pusat peperiksaan di mana telah berlaku pertambahan bilik atau dewan yang digunakan ekoran jarak susunan meja ditambah.
“Kemudiannya, kita dapat lihat pertambahan bilangan petugas, penyediaan bilik-bilik seperti bilik kuarantin bagi calon bergelaja, bilik isolasi, bilik alternatif dan bilik transit.
“Berlaku juga petugas-petugas terpaksa digantikan kerana positif Covid-19 ataupun menjadi kontak rapat,” tuturnya lanjut.
Walaupun pelbagai dugaan yang perlu dilalui, alhamdullilah, peperiksaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan semua calon berjaya mendapat keputusan SPM mereka.
Sementara itu, peperiksaan bertulis SPM 2021 yang diadakan pada 2 hingga 29 Mac lalu merekodkan kehadiran seramai 66,763 calon di sekolah kerajaan, 2,762 calon (swasta) dan 4,523 (calon persendirian) bagi negeri Selangor.
Manakala 11, 432 calon positif atau yang menjalani kuarantin telah menduduki peperiksaan SPM sesi 2 pada 5 hingga 19 April 2022.
Usaha keras semua pihak
Dalam pada itu, Pengetua SMK (P) Sri Aman, Salwani Mohammad Zain berkata, keputusan SPM 2021 itu adalah yang terbaik sejak peperiksaan tersebut dijalankan.
“Sekolah ini berjaya merekodkan gred purata 1.98 yang disasar boleh dicapai pada tahun 2023.
“Kejayaan ini bukan hanya datang daripada usaha keras warga sekolah sahaja sebaliknya ia membabitkan semua pihak secara langsung atau pun tidak langsung,” katanya.
Salwani berkata, anak-anak tahun 2021 sememangnya berhadapan banyak cabaran yang cukup luar biasa.
“Sebab itu saya selalu tekankan pada calon 2022 yang mereka sekarang sudah tidak berhadapan dengan pandemik. Jadi, tiada sebab untuk tidak boleh belajar dengan bersungguh-sungguh.
“Saya harap, anak-anak pelajar SMK (P) Sri Aman dapat jadikan kecemerlangan pelajar 2021 sebagai penguat semangat untuk mereka raih keputusan yang lebih cemerlang lagi,” katanya dengan menambah seramai 43 daripada 174 calon SPM 2021 berjaya mendapat keputusan cemerlang.
Pada majlis tersebut, turut diumumkan dua pelajar terbaik yang telah mendapat keputusan cemerlang.
Mereka adalah Shrreya Arivazhagan yang memperoleh keputusan 10A+ dan Cheong Wen Yi, 9A+.
INFO
Sistem Penggredan SPM
Gred Baru
A+ (Cemerlang Tertinggi)
A (Cemerlang Tinggi)
A- (Cemerlang)
B+ (Kepujian Tertinggi)
B (Kepujian Tinggi)
C+ (Kepujian Atas)
C (Kepujian)
D (Lulus Atas)
E (Lulus)
G (Gagal)
Artikel berkaitan
Program empowerNCER-Akademik bantu tingkatkan kecemerlangan pelajar SPM 2021
Inspirasi ramai! Pelajar 10A+ SPM kongsi rahsia kejayaan untuk calon peperiksaan tahun ini