de496d685707028dec4bb581005b9eb161891a05f0899 (1)
de496d685707028dec4bb581005b9eb161891a05f0899 (1)

279 guru di Perak tolak vaksin COVID-19

webadmin
10 Nov 2021 12:35pm
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seramai 279 guru di Perak dikenalpasti menolak untuk menerima vaksin Covid-19, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata, sehubungan itu kerajaan negeri menggesa supaya guru-guru berkenaan segera mengambil vaksin Covid-19 menjelang pembukaan sekolah pada 22 November depan.

Menurutnya, keengganan guru menerima vaksin Covid-19 akan menjejaskan sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

"Walaupun ramai guru tidak mengambil vaksin kerana kata itu hak asasi mereka, namun kita jangan lupa hak asasi orang lain untuk merasa selamat dan terlindung.

"Kalau kita tahu ada cikgu ajar anak kita tidak ambil vaksin, kita akan rasa tidak selamat dan tidak terlindung. Itulah yang saya maksudkan, kena ambil kira juga hak asasi orang lain, jadi kita merayu semua orang ambil vaksin," katanya ketika hadir merasmikan Hari Guru Negeri Perak Tahun 2021 di Dewan Jubli Perak di sini pada Selasa.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud dan Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Datuk Dr Mohd Suhaimi Mohamad Ali.

Saarani berkata, berdasarkan ketetapan Kementerian Pendidikan, guru yang belum divaksin tidak akan dibenarkan mengajar secara bersemuka.

"Pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan sekolah akan menguruskan penggantian guru-guru yang tidak dibenarkan mengajar ini sepertimana guru bercuti atau sakit.

"Kerajaan negeri tidak ada kuasa untuk memaksa guru-guru ini mengambil vaksin sehingga arahan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada penjawat awam berkenaan," katanya.

Sementara itu, Saarani berkata, sehingga 8 November seramai 37,069 guru telah divaksin, manakala 369 orang masih belum menerima vaksin di Perak.

Pada majlis itu, Saarani turut menyampaikan Anugerah Tokoh Guru kepada Abdul Hashim Abdul Karim dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan kepada Mohd Rosli Ahmad.

Turut disampaikan Pingat Penghormatan Guru kepada 17 orang penerima.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok