biasiswa jepun 3 mahasiswa cemerlang ditaja kerajaan negeri Terengganu RM1.78 juta sambung belajar ke
biasiswa jepun 3 mahasiswa cemerlang ditaja kerajaan negeri Terengganu RM1.78 juta sambung belajar ke

3 mahasiswa cemerlang ditaja kerajaan negeri Terengganu RM1.78 juta, sambung belajar ke Jepun

Rasyidah Zulkifi
23 Apr 2022 11:22pm
A
A
A

KUALA TERENGGANU: RM1.79 juta diperuntukkan kepada tiga pelajar di bawah Skim Pelajar Cemerlang (SPC) Yayasan Terengganu Ke Luar Negara 2022 bagi melanjutkan pengajian di Jepun.

Penerima biasiswa terbabit ialah Wan Nur Fazliyatul Adawiyyah Wan Muhamed Fakry, 19,  Muhammad Syarif Salzali, 19 dan Wan Muhammad Amirul Sofian Wan Ruhazlan, 19.

Baca juga

Tawaran biasiswa pendidikan Terengganu dibuka, sambung ACCA dan ijazah lanjutan dalam dan luar negara

Pelajar cemerlang SPM berat hati sambung belajar, pikul tanggungjawab ketua keluarga selepas kematian ayah

Menurut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menyifatkan penghantaran ketiga-tiga anak jati Terengganu ke Jepun di bawah SPC itu adalah buat kali kedua.

“Mereka merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang akan menyambung pengajian di Jepun bagi tempoh tiga hingga empat tahun.

“Ketiga-tiga ini telah menamatkan Program Persediaan Jepun di Kolej INTEC Shah Alam dan dijadualkan berangkat ke sana pada 18 Mei depan.

“Besar harapan kerajaan negeri dan Yayasan Terengganu khasnya untuk melihat pelajar pulang membawa kejayaan setelah tamat pengajian nanti,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Pendahuluan Diri dan Bantuan Persedian SPC 2022 di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

Ujar beliau, dana RM5 juta setahun diperuntukkan untuk membiayai pengajian anak-anak Terengganu yang cemerlang bagi meneruskan pengajian di peringkat ijazah pertama.

Katanya, seramai 601 pelajar cemerlang lepasan SPM, asasi/matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), menerima biasiswa SPC bagi mengikuti pengajian peringkat persediaan serta ijazah pertama dalam pelbagai bidang.

“Daripada jumlah tersebut, 516 orang mengikuti pengajian di universiti awam dalam negara dan 84 orang dari mereka mengikuti program pengajian luar negara dalam bidang- bidang kritikal seperti perubatan, pergigian, kejuruteraan, sains, perakaunan dan al-Quran Wal Qiraat.

“Tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan anak-anak Terengganu yang cemerlang dapat melanjutkan pengajian dalam bidang idaman di universiti terkemuka yang menjadi rebutan setiap pelajar untuk menimba ilmu,” ujarnya.

Sementara itu, Wan Nur Fazliyatul Adawiyyah berkata, dalam mengikuti pengajian kejuruteraan elektrik di Jepun nanti tajaan biasiswa SPC sangat membantu dirinya.

Jelasnya, peluang ini adalah pembakar semangat kepada tiga beradiknya dan mampu meringankan beban keluarga yang tidak perlu menanggung kos pengajiannya nanti.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Baginya, impian belajar di luar negara tercapai apabila dimaklumkan sebagai salah seorang penerima biasiswa SPC.

"Saya bersyukur menerima biasiswa ini dan berjanji akan membuat yang terbaik untuk membalas jasa kerajaan negeri, Yayasan Terengganu dan semua pihak yang memberi sokongan,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok