30,000 murid di Kangar terima SSPN 1Malaysia
30,000 murid di Kangar terima SSPN 1Malaysia

30,000 murid di Kangar terima SSPN 1Malaysia

Azliyana Sulaiman
31 Dec 2020 01:22am
A
A
A

KANGAR - Biro Kebajikan Umno Malaysia (Bikum) memberi sumbangan akaun simpanan SSPN 1Malaysia bernilai RM100 kepada 30,000 murid tahun satu di seluruh negara.

Pengerusi Bikum, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, sumbangan itu diberikan kepada murid dari keluarga kurang berkemampuan tanpa mengira perbezaan kaum mahupun politik.

“Untuk makluman, program sumbangan yang dijalankan Barisan Nasional (BN) berkenaan bukanlah pemberian ‘one off’ ataupun tempoh jangka pendek, sebaliknya dilaksanakan sepanjang masa.

“Malah, program sumbangan akaun simpanan SSPN 1Malaysia merupakan program menyeluruh dan berterusan bagi jangka panjang demi mengubah kehidupan golongan itu melalui pendidikan,” katanya.

Beliau berkata sedemikian selepas Program Umno Bantu Rakyat 2.0 anjuran Bikum dan Umno Perlis di Dewan Wawasan 2020, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Umno Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, Bikum telah melaksanakan pemberian sumbangan pembukaan akaun di 11 negeri termasuklah Perlis.

“Selepas ini, program pemberian sumbangan Bikum akan diteruskan ke Sabah, diikuti Kelantan sebagai negeri terakhir pada bulan ini untuk menerima manfaat bantuan itu,” katanya.

Terdahulu, seramai 3,000 murid dari Parlimen Arau, Kangar dan Padang Besar menerima sumbangan pembukaan akaun simpanan SSPN 1Malaysia bernilai RM100 itu.

Antara lain, seramai 500 ibu tunggal masing-masing turut menerima sumbangan berbentuk wang tunai RM50, kit makanan dan telekung setiap seorang.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok