Dr Mohd Azam (tengah) menyerahkan cek kepada Ismail (dua kiri) pada Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan Tahun 2025 Peringkat Negeri Kedah di Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah.
Dr Mohd Azam (tengah) menyerahkan cek kepada Ismail (dua kiri) pada Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan Tahun 2025 Peringkat Negeri Kedah di Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah.

333,084 pelajar terima manfaat Bantuan Awal Persekolahan di Kedah

NURUL HIDAYAH HAMIDNURUL HIDAYAH HAMID
12 Jan 2025 09:30pm

Seramai 333,084 pelajar akan menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) melibatkan peruntukan lebih RM49 juta untuk diagihkan ke 749 sekolah di seluruh Kedah.

Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Dr Mohd Azam Ahmad berkata, setiap pelajar akan menerima bantuan bernilai RM150 tanpa mengira latar belakang ekonomi ataupun pendapatan keluarga.

Beliau memaklumkan, bantuan terbabit adalah sebahagian daripada inisiatif khusus untuk pendidikan anak bangsa.

"Kami berharap dengan penyerahan bantuan ini, sekolah-sekolah dapat menyampaikan BAP kepada murid-murid bagi kalendar akademik 2025-2026.

"Bantuan ini bertujuan untuk membantu ibu bapa dalam membuat persediaan untuk anak-anak mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan Tahun 2025 Peringkat Negeri Kedah di Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah pada Ahad.

Hadir sama, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Pengarah JPN Kedah, Ismail Othman.

Beliau menambah, bantuan bernilai RM150 diingatkan untuk diagihkan kepada seluruh pelajar di negeri ini tanpa sebarang potongan untuk yuran atau sumbangan.

"Ini adalah untuk kegunaan anak-anak kita sepenuhnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bantuan diberikan diharap dapat membantu anak-anak pelajar supaya dapat bersekolah dengan lebih baik.

"Kami ingin memberikan akses pendidikan yang berkualiti kepada semua anak-anak kita, baik di bandar mahupun di kampung.

"Inisiatif ini adalah untuk memastikan tiada seorang pun yang tertinggal disebabkan masalah kewangan," jelas beliau lagi.

Dr Mohd Azam berpandangan, pemberian BAP itu adalah bukti komitmen kerajaan Madani dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan membantu keluarga yang memerlukan.

"Kami berharap nanti anak-anak kita dapat dibangunkan sebagai insan yang berkualiti untuk agama, bangsa, dan negara," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp