MITBA Donation
MITBA Donation

34 komputer riba untuk 10 rumah anak yatim

webadmin
20 Sep 2021 02:31pm
A
A
A

Bersempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September lalu, persatuan The Malaysian Insurance and Takaful Brokers (MITBA) telah menyalurkan sebanyak 34 komputer riba kepada 10 rumah anak yatim di sekitar Lembah Klang.

Kesemua komputer riba ini dibeli dengan harapan untuk memberi peluang kepada golongan yang kurang mampu di bawah jagaan rumah-rumah anak yatim tersebut.

Dengan adanya alat peranti ini, MITBA dan para penyumbang harap kesemua golongan anak muda boleh menghadiri kelas atas talian, di samping mendorong mereka untuk menerokai peluang di ruang digital dan kekal aktif dalam aktiviti-aktiviti berkaitan dengannya.

“Saya amat terharu dengan pencapaian yang telah melebihi sasaran sebanyak 23%, iaitu melebihi RM70,000 dan saya yakin ini telah membekalkan alatan keperluan untuk para pelajar untuk maju dalam era digital,” ujar Pengerusi MITBA, Vicky Rajaratnam.

Selaras dengan ketetapan SOP, kesemua 34 komputer riba akan diedarkan kepada House of Love, Yayasan Sunbeams Home, Penyayang Nur Iman, Shelter Home For Children, Praise Emmanuel Children’s Home, Lighthouse Children Welfare Home Association, Rumah Bakti Dato’ Harun, House of Joy, Rumah Aman, Desa Amal Jireh dan lain-lain.

“Kita amat gembira dengan komitmen semua organisasi dalam membantu para pelajar untuk menyesuaikan diri mereka dalam pembelajaran dari aspek transformasi digital dalam masa pandemik ini.

“Alat peranti ini akan menjadi batu loncatan untuk para pelajar dalam menerusi masa depan yang cerah dan kami yakin bahawa mereka akan beri fokus yang tinggi ketika mengambil bahagian dalam forum dan pembelajaran atas talian. Semua ini akan pasti membantu mereka dalam masa pandemik ini,” kata Christopher dari Praise Emmanuel Children’s Home.

Cik Yaw Sook Ngan dari Yayasan Sunbeams Home turut berkata, ‘kesemua komputer riba ini akan banyak membantu para pelajar kita kerana mereka dapat menerokai ruang digital untuk pembelajaran masing-masing secara kreatif.

“Ini juga akan membolehkan mereka untuk menghadiri bengkel-bengkel, sertai pertandingan atas talian dan memperbaiki kemahiran mereka. Dengan adanya alat peranti ini, para pelajar kita akan turut berinovasi seperti para pelajar lain.

“Yang lebih penting, inisiatif ini bertujuan untuk beri harapan dan peluang kepada anak muda kita. Ini merupakan usaha kolektif untuk membantu mereka. Oleh itu, kita menggalakkan semua untuk tampil bagi memastikan tiada yang ditinggalkan dalam masa pandemik ini,” jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok