71636501393_Saarani
71636501393_Saarani

37 tahun berkhidmat sebelum terima Anugerah Tokoh Guru Perak

webadmin
11 Nov 2021 05:07pm
A
A
A

KUALA KANGSAR - Selepas 37 tahun berkhidmat sebagai seorang guru, bekas Pengetua Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR), Ipoh akhirnya dinobat sebagai Tokoh Guru Negeri Perak 2021 sempena Hari Guru Negeri Perak pada Selasa lalu.

Menurut Abdul Hashim Abdul Karim, 63, penganugerahan tersebut memberi semangat kepadanya untuk terus menyumbang peranan kepada masyarakat walaupun sudah mengakhiri perkhidmatan pada tahun 2019.

"Dengan anugerah ini akan memberi lagi motivasi untuk menyumbang bukan setakat di negeri Perak tetapi untuk negara kita terutama dalam bidang pendidikan. Sesiapa sahaja berhajat, saya akan berkongsi pengalaman dan kepakaran.

"Saya ingin berpesan kepada guru-guru di luar sana, yang muda-muda, nawaitu paling penting. Kita buat yang terbaik, kita perlu anggap anak orang lain seperti anak kita dan ALLAH akan memberi yang terbaik untuk anak kita," katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian Hari Guru Negeri Perak Tahun 2021 di Dewan Jubli Perak, di sini pada Selasa.

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Berasal dari Teluk Intan, Abdul Hashim memulakan perkhidmatan pada tahun 1984 di Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan selama 23 tahun.

Beliau kemudian berhijrah ke Sekolah Menengah Teknik Taiping sebelum menjadi Pengetua STAR pada tahun 2010 sehingga bersara.

Sepanjang karier sebagai pendidik, beliau pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak lima kali selain menjadi Pengetua Cemerlang.

Menurutnya, kepuasan menjadi guru apabila melihat keberhasilan anak-anak didik yang berjaya di dalam kerjaya masing-masing.

Selepas bersara, Abdul Hashim kini menyumbang kepakaran dalam bidang pendidikan dan pertanian dengan mewujudkan Kebun Komuniti di Taman Meru Perdana, Ipoh.

Selain itu, beliau merupakan Pengerusi Jamaah Pengurusan Sekolah Pusat Pendidikan Al Hidayah dengan menguruskan lima sekolah di bawah organisasi tersebut.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok