ump3
ump3

Adab@UMP aplikasi kupon makan untuk pelajar susah

Nor Azma  Muhamat Laila
10 Jan 2022 05:01pm
A
A
A

Seiring dengan hasrat universiti ke arah kampus digital, pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) bakal mengadaptasi kemudahan UMP Kasih iaitu kupon makan untuk pelajar yang kesempitan menerusi aplikasi Adab@UMP yang membolehkan mereka mendapatkan makanan secara percuma bagi yang layak di kafeteria kampus.

Terdapat sembilan inisiatif atau kupon disediakan di bawah Food@Campus Keluarga Malaysia Keluarga UMP.

Selain UMP Kasih, insiatif lain adalah UMP Pek Kasih Sayang, UMP Campus Pantry, UMP Kuarantin, UMP: YAPEM, UMP Iftar, UMP Traveller, UMP Food For All dan UMP Bakul Prihatin Yayasan.

Dijangkakan lebih 4,000 pelajar UMP akan menerima manfaat melalui program sumbangan Food@Campus Keluarga Malaysia Keluarga UMP hasil inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mulai tahun ini.

Menurut Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP berkata, kemudahan ini menyasarkan pelajar dari golongan B40 dan kurang berkemampuan.

Katanya, pelajar yang mempunyai masalah kewangan sehingga kesempitan atau ketiadaan wang untuk makan dengan alasan yang munasabah juga layak menerima kemudahan ini.

“Agihan baucar ini melibatkan peruntukan berjumlah RM260,000 dengan lebih 56,000 kupon sebagai tanda keprihatinan universiti bagi mengurangkan beban pelajar.

“Ini terutamanya yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan mereka yang terjejas dengan musibah banjir baru-baru ini,” katanya yang hadir melancarkan aplikasi ini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Yayasan UMP turut menyediakan bantuan Khas Covid-19, kemudahan pembelajaran seperti komputer riba dan pelan data internet untuk meringankan beban pelajar dalam meneruskan pengajian norma baharu.

Terus cakna dengan kebajikan pelajar, pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar turut menyediakan khidmat e-Kaunseling bagi membantu pelajar agar tidak menjejaskan pengajian mereka.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok