pexels-thisisengineering-3913031
pexels-thisisengineering-3913031

Akademik tumpu teknologi AI, tingkat kebolehpasaran graduan

Nor Azma  Muhamat Laila
03 Apr 2022 03:16pm
A
A
A

Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) adalah teknologi terkini yang amat penting dalam membantu meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan pengeluaran sejajar dengan idea pelaksanaan Revolusi Industri Keempat (IR4.0).

Sehubungan itu, Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjalin kerjasama dengan Seeloz (M) Sdn Bhd menerusi majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang diadakan, baru-baru ini.

Menerusi kolaboratif itu, kedua-dua belah pihak akan bekerjasama dalam bidang AI dan teknologi serta memperkukuhkan pembangunan akademik yang menumpukan bidang teknologi AI dalam industri rantaian bekalan.

Memanfaatkan AI & automasi, Seeloz bakal memperkenalkan Supply Chain Automation Suites (SCAS) iaitu satu Perancangan Keperluan Autonomi (ARP) pertama di dunia untuk menguruskan rantaian bekalan yang kompleks dan luas.

UMP pula akan mempunyai pusat strategik yang menumpukan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam teknologi AI serta membangunkan ‘Seeloz AI House’ hasil kerjasama antara pihak UMP dan Seeloz baru-baru ini.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Seeloz, Azman M Ali, kolaboratif ini adalah satu peluang terbaik kerana UMP mempunyai rekod-rekod yang membanggakan dalam pendidikan selain mempunyai ramai pakar dalam bidang teknologi.

"Kerjasama ini memfokuskan kepada pelajar UMP terutama dalam bidang sains komputer, kejuruteraan elektronik dan pengurusan industri sekali gus melatih mereka menjadi graduan yang berkemahiran tinggi serta menepati kriteria dan piawaian industri.

“Pihak Seeloz bersungguh-sungguh dalam berkongsi kepakaran, kajian kes dan pengalaman berkaitan teknologi AI yang dapat digunakan serta dimanfaatkan dalam industri dan kami menyambut baik kerjasama ini demi pembangunan modal insan serta dapat merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Selain itu, pelajar UMP juga diberi peluang menyertai latihan industri bersama Seeloz dan ini akan membolehkan mereka mempunyai nilai tambah serta kebolehpasaran dalam memenuhi keperluan pekerjaan.

Pada masa yang sama syarikat Seeloz juga dapat berinteraksi dengan para pensyarah UMP secara praktikal dalam berkongsi khidmat kepakaran domain yang pelbagai, konsultasi dan pembangunan bagi membantu memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin berkata, UMP menjalinkan kerjasama strategik dengan industri bagi memantapkan jaringan dalam pelbagai bidang terutamanya akademik, penyelidikan, inovasi dan pembangunan sumber manusia yang bakal dimanfaatkan kedua-dua pihak seiring dengan Pelan Strategik UMP 2021-2025 dengan tagline “Teknologi Untuk Masyarakat”.

"Selain Pusat Kecemerlangan AI (CoE), kerjasama ini turut memberi peluang kerjasama dalam latihan, pendidikan, pembangunan dan penyelidikan.

"Antara program yang bakal dilaksanakan adalah latihan ‘reskilling’ dan ‘upskilling’ yang memerlukan penglibatan pensyarah, pelajar dan pihak industri," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Seeloz, Mohd Emran Ibrahim juga merancang untuk mengadakan program-program latihan yang berkaitan dengan sistem rantaian bekalan dan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence-AI).

"Dengan adanya program ini, ia juga memberikan nilai tambah, daya saing dan berdaya maju dalam menjadikan kualiti pendidikan Malaysia antara terbaik di dunia," jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok