JAKIM
JAKIM

Akhirnya! Penyelesaian isu beg berat, KPM umum 7 pendekatan baharu

Adlan Farhan Azwan
07 Mar 2022 03:01pm
A
A
A

Isu beg berat yang sudah lama membelenggu murid-murid sekolah di seluruh negara akhirnya bakal diselesaikan apabila Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan tujuh pendekatan dan ketetapan yang akan dilaksanakan.

Ia termasuk penyediaan lokar bagi menangani isu beg berat murid, khususnya murid Tahap Satu di sekolah rendah.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pihaknya telah berbincang untuk melihat secara menyeluruh tentang pendekatan yang boleh digunakan bagi menangani isu beg berat.

“Selain daripada murid sekolah rendah secara keseluruhannya, tumpuan kita juga dikhususkan kepada murid Tahap Satu iaitu anak-anak kita yang berada di Tahun Satu, Dua dan Tiga," jelasnya.

Menurut hantaran yang dibuat oleh Radzi di laman Facebook semalam, beliau telah berkongsi tujuh ketetapan dan perincian yang telah ditetapkan KPM untuk menyelesaikan isu ini secara menyeluruh.

Antara tujuh ketetapan dan perincian tersebut adalah:

1. Penyediaan Lokar

Kredit foto: Unsplash

Bagi sekolah yang mempunyai dua sesi persekolahan, pendekatan penyediaan lokar dipecahkan kepada dua fasa iaitu untuk Tahap Satu dan Tahap Dua.

Pada Fasa Satu, ia akan melibatkan seramai 10,662 kelas dengan 323,186 orang murid Tahap Satu yang beranggaran RM37.3 juta.

Fasa Dua pula melibatkan murid Tahap Dua yang berada di Tahun Empat, Lima dan Enam di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi. Pelaksanaan dijangka pada tahun 2023.

Bagi sekolah yang mempunyai satu sesi sahaja, murid akan menyimpan buku di dalam lacI meja di bilik darjah masing-masing.

2. Penyusunan semula jadual waktu

Kredit foto: Pexels

Melaksanakan jadual waktu yang mengandungi tiga hingga empat mata pelajaran sehari, mengikut kaedah dan pelaksanaan yang sesuai terutama aspek pemberatan subjek, ketersediaan guru dan sesi persekolahan.

Selain itu, pihak sekolah juga akan diberi kelonggaran untuk menyediakan jadual waktu mengikut kitaran minggu.

3. Buku Latihan

Kredit foto: Unsplash

Bilangan buku latihan hendaklah tidak melebihi dua buah buku bagi setiap mata pelajaran pada satu masa dan setiap buku latihan hendaklah tidak melebihi 80 muka surat.

4. Buku aktiviti dan buku kerja

Murid hanya dibenarkan untuk menggunakan buku aktiviti yang disediakan oleh KPM.

Buku kerja hanya boleh digunakan sebagai bahan rujukan atau bahan ulang kaji di luar waktu pengajaran dan pembelajaran.

5. Buku teks digital

Paparan muka di halaman utama DELIMa.

Penerbitan baharu buku teks dalam format digital secara berterusan. Setakat ini, 692 judul buku teks digital telah dimuat naik dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa).

Bagi murid yang mempunyai peranti dan capaian internet, mereka boleh mengakses buku teks digital melalui pelantar DELIMa.

6. Pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP)

KPM menggalakkan menggunakan pendekatan PdP berpusatkan murid iaitu pembelajaran bertema, modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali (Virtual Lab) atau pembelajaran terbeza.

7. Kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Kredit foto: Sinar Harian

Penyelarasan uniform agar murid diberi kelonggaran untuk memakai uniform sekolah masing-masing semasa sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok