Ketua Program Sarjana Muda Teknologi Perkhidmatan Makanan, Mohd Akmal Rohiat mewakili FPTV menerima sumbangan TM6 drpd wakil alumni
Ketua Program Sarjana Muda Teknologi Perkhidmatan Makanan, Mohd Akmal Rohiat mewakili FPTV menerima sumbangan TM6 drpd wakil alumni

Alumni UTHM sumbang Thermomix, bantu pelajar FPTV guna teknologi digital terkini

Nor Azma  Muhamat Laila
30 Dec 2021 11:46am
A
A
A

BATU PAHAT - Alumni Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyumbang dua unit Thermomix 6 (TM6) bernilai kira-kira RM14,000 bagi kegunaan pelajar-pelajar bidang Sarjana Muda Teknologi Perkhidmatan Makanan dengan Kepujian, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV).

TM6 yang menggabungkan fungsi 24 peralatan yang berbeza dalam satu mesin antaranya menimbang, mencampur, memotong, mengisar, menguli, mengadun, mengukus, memasak, memukul, pemanasan tepat, mengacau dan mengemulsi itu akan memudahkan lagi para pelajar menghasilkan produk makanan.

Ketua Program Sarjana Muda Teknologi Perkhidmatan Makanan, Mohd Akmal Rohiat berkata, pihaknya sangat berbesar hati di atas sumbangan tersebut kerana ia dapat memanfaatkan pelajar dalam kursus ‘Kitchen Commercial Production Technology’ dan ‘Food Innovation and Commercialization’.

"Diharapkan peralatan ini akan memberi manfaat kepada para pelajar dan pada masa yang sama meraikan penggunaan teknologi terkini dalam penghasilan produk makanan yang berdaya saing," katanya.

Sumbangan mesin TM6 ini adalah bertujuan untuk menyokong penggunaan teknologi pendigitalan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) abad ke-21, di samping menggalakkan bidang teknousahawan selaras dengan usaha UTHM ke arah universiti teknousahawan bertaraf global pada tahun 2030 (GTU2030).

Selain itu, ia dapat menyokong program fakulti yang berupaya melahirkan tenaga kerja mahir serta merancakkan aktiviti keusahawanan bersama masyarakat selari dengan keperluan industri dan perkembangan teknologi terkini dalam Industri 4.0 dan Internet of Things (IoT).

Sementara itu Dekan FPTV, Prof Madya Ts Dr Abdul Rasid Abdul Razzaq pula berkata sumbangan peralatan itu menzahirkan keprihatinan dan komitmen alumni UTHM dalam pelaksanaan PdP seiring dengan perkembangan teknologi yang diguna pakai di dalam industri.

"Ini juga menonjolkan jiwa paradigma tauhid UTHM yang dibentuk dan diterapkan dalam diri mereka semasa pengajian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam satu majlis ringkas penerimaan sumbangan yang diadakan baru-baru ini.

Turut hadir memeriahkan majlis, Nur Diyana Mohd Yazid ataupun lebih dikenali sebagai Chef Bunga.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok