radzi
radzi

Ambil kira cabaran semasa pandemik, SPM 2021 dilaksana pada Mac 2022

Nor Azma  Muhamat Laila
06 Jun 2021 12:30pm
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan ujian bertulis bagi Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 akan dilaksanakan pada Mac 2022 manakala ujian lisan dan amali sains pada Februari 2022.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, KPM membuat keputusan itu selepas mengambil kira keadaan dan cabaran semasa yang perlu dilalui oleh calon SPM 2021.

"Pengalaman kita dalam menguruskan SPM 2020 membolehkan kita untuk menganjakkan tempoh atau tarikh pelaksanaan SPM 2021 ke tahun 2022 iaitu pada bulan Mac.

"Kita yakin segala proses berkaiatan dengan SPM 2021 ini akan dapat berjalan dengan lancar seperti mana kita telah berjaya melaksanakan SPM 2020," katanya dalam sidang media khas, pagi ini.

Sidang media khas oleh Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin.

Mengulas mengenai dakwaan oleh Jawatankuasa Pendidik Pakatan Harapan bahawa KPM gagal menguruskan SPM 2020, Dr Radzi berkata, dalam tempoh yang singkat itu, banyak kejayaan berjaya dilaksanakan oleh kementerian bagi memastikan peperiksaan itu berjalan lancar.

Katanya, pelaksanaan SPM 2020 adalah tempoh yang amat mencabar kerana tidak ada sesiapa pun pernah melaluinya sejak negara merdeka dan sehubungan itu, pelaksanaan SPM 2020 memerlukan penelitian yang cukup mendalam.

"Sepanjang pelaksanaan SPM 2020, Lembaga Peperiksaan keluarkan satu prosedur operasi standard (SOP) yang cukup lengkap, jumlah petugas ditingkatkan sehingga 48,000 orang, pemeriksaan kertas SPM 2020 dibuat secara atas talian, keputusan diumumkan lebih awal dan boleh disemak secara dalam talian malah sijil akan dikeluarkan lebih awal berbanding sebelum ini iaitu sebulan selepas keputusan.

"Dalam tempoh yang singkat ini, SPM 2020 bukan saja peperiksaan yang banyak cabarannya tetapi SPM 2020 adalah satu tahun di mana terlalu banyak penambahbaikan dibuat kepada pelaksanaan peperiksaan ini," katanya.

Ditanya mengenai keutamaan membenarkan murid-murid kelas peperiksaan kembali ke sekolah terlebih dulu sekiranya keadaan mengizinkan, Dr Radzi berkata KPM akan memberi keutamaan kepada murid berkenaan.

"KPM juga sentiasa mencari kaedah dan penyelesaian terbaik supaya apabila sekolah dibuka semula, murid dapat teruskan persekolahan dalam keadaan selamat," katanya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok