b4d2c108-975a-4a51-8e8b-465a10bb7f48
b4d2c108-975a-4a51-8e8b-465a10bb7f48

Apa nasib murid-murid berkeperluan khas semasa PdPR?

A
A
A

Proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara maya mungkin tidak mendatangkan banyak masalah kepada murid-murid lain.

Sistem pembelajaran yang hanya ditukarkan kepada bentuk pembelajaran di rumah tidak sepenuhnya mengganggu proses pemahaman mereka terhadap topik yang diketengahkan oleh guru.

Namun, persoalannya bagaimanakah nasib murid-murid yang memerlukan pemantauan khas daripada guru-guru?

Adakah mereka mampu melalui fasa Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang masih tidak berpenghujung ini?

Persoalan ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat apabila nasib murid-murid ini ibarat layang-layang terputus tali.

Kepelbagaian masalah yang dihadapi pelajar seperti pelajar berkeperluan khas pembelajaran, masalah pendengaran, masalah penglihatan, atau ketidakupayaan pelbagai serta persepsi sekeliling telah memberikan cabaran berganda buat para guru pendidikan khas ini.

Mendepani pelbagai masalah yang dihadapi oleh murid-murid, sudah tentu mengharuskan mereka melakukan usaha berlipat kali ganda bagi memastikan anak didik masing-masing menerima ilmu seperti kanak-kanak normal yang lain.

Susulan itu, seorang guru pendidikan khas penglihatan, Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Jalan Batu, Kuala Lumpur, Cikgu Amir, menjelaskan murid-murid berkeperluan khas (MBK), terdiri daripada beberapa jenis kefungsian iaitu kefungsian rendah, sederhana dan tinggi.

Jadi setiap proses perancangan PdPR itu harus mengikut keupayaan yang dimiliki oleh murid-murid tersebut manakala bagi MBK pendengaran dan MBK penglihatan pula, silibus pembelajaran adalah berteraskan arus perdana tetapi ada juga sesetengah mata pelajaran yang mempunyai pengubahsuaian.

“Untuk pengetahuan semua, kami sebagai tenaga pengajar pendidikan khas telah melakukan beberapa kaedah untuk memenuhi keperluan murid-murid di bawah tanggungjawab kami di mana PdPR yang dijalankan adalah mengikut keupayaan dan lokaliti murid iaitu tempat keberadaan murid, ekonomi murid dan juga kemudahan peranti yang dimiliki oleh mereka,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, murid-murid ini turut diberikan elaun sebanyak RM1,800 setahun untuk kegunaan sepanjang proses pembelajaran mereka di musim pandemik ini.

Sehubungan itu, beliau memberitahu murid-murid yang tidak mempunyai peranti atau kemudahan PdPR, bahan pembelajaran yang diberikan oleh guru akan dihantar oleh seorang pemandu van dan bas yang disediakan khas oleh pihak sekolah ke rumah masing-masing.

“Kami cuba melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya berdasarkan keupayaan yang dimiliki pelajar.

“Sebagai contoh, bagi pelajar yang mengalami masalah penglihatan, mereka akan menggunakan buku teks braille tetapi pemantauan terhadap keupayaan murid-murid ini akan dilakukan bagi memastikan mereka memerlukan mesin braille ataupun tidak,” ujarnya lagi.

Tidak dinafikan proses PdPR sedikit memberi kesukaran oleh semua guru namun guru pendidikan khas ini tidak menjadikan pandemik Covid-19 ini sebagai penghalang untuk mereka terus menjalankan tugas dan amanah dengan baik.

Ini kerana, biarpun tidak seperti murid-murid normal yang lain, murid-murid ini mempunyai hak sekali gus potensi yang tinggi untuk mengharumkan nama negara ke peringkat global.

Oleh itu, guru-guru perlu sentiasa bekerjasama mengerah tenaga dan usaha yang jitu bagi memastikan murid-murid berperluan khas ini mendapatkan ilmu yang cukup untuk kemajuan masa depan mereka.

Sumber Youtube: PdPR Murid Pendidikan Khas: Mampukah Mereka?

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok