Situasi operasi penyelamatan pelajar Maahad Tahfiz Ummul Qura Lilbanat, Kampung Alor Ara, Pekan. Foto: Ihsan APM Pekan
Situasi operasi penyelamatan pelajar Maahad Tahfiz Ummul Qura Lilbanat, Kampung Alor Ara, Pekan. Foto: Ihsan APM Pekan

APM selamatkan 29 pelajar tahfiz di Pekan, jalan terputus hubungan

18 Dec 2025 04:16pm

Pelajar Maahad Tahfiz Ummul Qura Lilbanat, Kampung Alor Ara, Pekan terpaksa dipindahkan selepas kawasan terbabit dilanda banjir akibat hujan berterusan selama beberapa hari di Pahang.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Pekan Kapten (PA) Ahmad Azmi Nafiah berkata, sejumlah 29 pelajar yang menetap di maahad tahfiz terbabit dibawa ke tempat selamat menaiki bot pada tengah hari tadi.

"Kesemua pelajar dan pengurusan maahad tahfiz berkenaan telah pulang ke kediaman masing-masing. Ibu bapa pelajar telah mengambil mereka selepas dibawa keluar ke tempat selamat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Azmi berkata, pihaknya mendapati laluan menuju ke maahad tahfiz tersebut dinaiki air sedalam 1.3 meter hingga menyebabkan pelajar terbabit terkandas akibat terputus hubungan.

Beliau berkata, lima angota lain-lain pangkat telah digerakkan pada operasi berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Ashari Abu Samah dalam kenyataan berasingan memaklumkan tujuh jalan di sekitar daerah Kuantan ditutup kepada semua kenderaan susulan banjir yang melanda beberapa kawasan rendah ekoran hujan lebat sejak awal pagi.

Beliau berkata laluan yang terjejas ialah Jalan Air Hitam dengan kedalaman air mencecah 0.6 meter sepanjang 200 meter; Jalan Kampung Pasir Kemudi dengan paras air 1.2 meter sepanjang 1.8 kilometer (km); dan Jalan Kampung Bukit Bangkong di perkampungan Orang Asli yang dinaiki air sedalam 0.9 meter sepanjang 1.5 km.

"Turut ditutup Jalan Kuantan-Pekan yang tidak boleh dilalui semua kenderaan, jalan di hadapan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) yang dinaiki air di kedua-dua arah, serta Jalan MCKIP-Kuantan Bypass dengan kedalaman air 1.2 meter sepanjang kira-kira 100 meter.

"Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran Bukit Penggorak pula dinaiki air sedalam 0.5 meter sepanjang kira-kira 400 meter," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ashari berkata penutupan jalan dilaksanakan bagi mengelakkan risiko kemalangan dan ancaman keselamatan kepada pengguna, selain menasihati orang ramai supaya tidak melalui laluan terjejas terutama di kawasan rendah dan berhampiran sungai. - Bernama

Ringkasan AI

  • Pelajar Maahad Tahfiz Ummul Qura Lilbanat dipindahkan kerana banjir di Pahang
  • Sejumlah 29 pelajar dibawa ke tempat selamat dengan bot
  • Pelajar dan pengurusan tahfiz sudah pulang ke rumah masing-masing
  • Laluan ke maahad tahfiz dinaiki air sedalam 1.3 meter
  • Tujuh jalan di sekitar Kuantan ditutup akibat banjir
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp