Untitled
Untitled

Beri bantuan 'one-off' RM300 kepada mahasiswa dalam Bajet 2022 - MPPK

Nor Azma  Muhamat Laila
25 Oct 2021 04:38pm
A
A
A

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menggesa kerajaan memberikan bantuan 'one-off' sekurang-kurangnya RM300 kepada mahasiswa dalam Bajet 2022 bagi meringankan beban mereka untuk memulakan semester baharu.

Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri, berkata bantuan sedemikian amat diperlukan oleh mahasiswa pada hari ini yang sedang beransur-ansur pulang semula ke kampus malah ada juga yang sudah memulakan sesi pembelajaran secara fizikal.

Menurut beliau, selain bantuan kewangan secara 'one-off', MPPK juga berharap agar kerajaan dapat merealisasikan penetapan elaun latihan industri.

"Penetapan elaun latihan industri ini dapat memastikan mahasiswa untuk memperkasakan lagi kemahiran dan kebolehan serta dibayar dengan bayaran yang setimpal bagi hasil kerja mereka semasa latihan industri.

"ia juga dapat memastikan tiada lagi penindasan terhadap mahasiswa yang sedang menjalani latihan industri," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Presiden MPPK, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri.

Dalam pada itu, Muhammad Amir Asyraf berkata, MPPK juga menggesa kerajaan supaya mewujudkan semula Skim MyBrain yang pernah diperkenalkan sebelum ini dan ternyata sangat membantu pelajar pascasiswazah dalam membiayai pengajian mereka.

"Namun sejak beberapa lama, skim ini telah dinyahaktifkan dan MPPK merasakan perlu untuk MyBrain diwujudkan semula kerana ramai mahasiswa pascasiswazah yang sangat memerlukan pembiayaan melalui skim ini.

"Mewujudkan semula MyBrain juga akan dapat menambah lagi jumlah tenaga kerja mahir dan profesional tempatan yang amat penting untuk melancarkan lagi kemajuan dan pembangunan negara," ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, dalam memenuhi hasrat kerajaan untuk melihat lebih ramai rakyat Malaysia berumur 30 tahun ke bawah memiliki rumah sendiri, MPPK merasakan bahawa perlunya satu skim khas diperkenalkan bagi membolehkan graduan juga dipermudahkan urusan untuk memiliki rumah.

"MPPK mencadangkan agar kerajaan mewujudkan Skim Rumah Graduan yang akan membolehkan lebih ramai graduan memiliki rumah pertama sendiri sekali gus membantu meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia.

"Kami sangat berharap agar pihak kerajaan dapat pertimbangkan hasrat dan harapan yang telah dinyatakan oleh MPPK bagi Bajet 2022 ini serta terus mendengar hasrat dan denyut nadi mahasiswa," jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok