No Image Caption

Buku atau e-book?

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
02 Jun 2025 06:16pm

Sama ada buku fizikal mahupun buku dalam talian, kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri.

Buku fizikal menawarkan pengalaman membaca yang lebih mendalam dan bebas daripada menggunakan skrin, manakala e-book pula memberi kemudahan akses segera serta mudah dibawa.

Namun, pilihan antara buku fizikal atau e-book bukan sekadar gaya pembelajaran pelajar, namun ia terkait dengan keberkesanan memahami isi kandungan, tahap fokus, serta minat pelajar terhadap pembacaan.

Persoalannya, manakah yang lebih sesuai untuk generasi pelajar masa kini? Adakah buku fizikal masih relevan atau e-book wajar dijadikan norma baharu dalam pembelajaran digital? Ini respon beberapa pelajar sekolah.

Buku masih relevan

"Saya rasa buku ada segala-galanya. Semua yang kita hendak belajar, baca ada di dalam sebuah buku. Bukan carian dalam talian itu tidak bagus, cumanya apa yang kita perlukan tidak semestinya sahih.

"Saya lebih tertarik untuk membaca buku fizikal berbanding dalam talian kerana ia menyeronokkan.” - Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Molek, Melaka, Muaddin Zaini Nor Zaini, 15.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

"Saya lebih berminat dengan buku fizikal kerana tinggal di asrama. Kami tidak dibenarkan membawa telefon bimbit, jadi perkara itu sudah menjadi kebiasaan apabila berada di rumah.

"Saya gembira dan seronok apabila datang ke pesta buku, hanya inilah peluang saya untuk membeli novel atau komik baharu.” - Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Haji Mohd Yassin, Johor, Nur Aina Nabila Lutfee, 15.

E-book lebih mudah

"Saya lebih kerap menggunakan e-book kerana mudah untuk mencari maklumat tentang sesuatu pelajaran yang tidak difahami. Namun, kami tidak dibenarkan membawa telefon bimbit atau gajet ke sekolah, jadi pembacaan atau pencarian maklumat itu hanya menerusi buku teks.

"Oleh itu, saya hanya menggunakan internet untuk mencari maklumat dalam talian sekiranya belajar seorang diri.” - Pelajar SMK Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Jerantut, Pahang, Muhammad Arif Helmi Mohd Badrul Hisham, 16.

No Image Caption

"Saya suka membaca buku fizikal seperti novel tetapi apabila melibatkan pembelajaran, lebih suka e-book. Ini kerana ia mudah untuk diperolehi, boleh akses di mana sahaja tanpa perlu tercari-cari. Kalau menggunakan buku, kita tidak pasti di muka surat yang mana dan perlu membaca setiap daripadanya untuk mendapatkan maklumat.

"Namun, apabila kita mencari dalam talian, hanya tunggu beberapa saat untuk terus mendapatkan jawapan. Tidak perlu tunggu lama dan tercari-cari.” - Pelajar SMK Jelai (F), Negeri Sembilan, Nur Hanisah Izzati Jamaludin, 17.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp