SDYIC 2019 Grand Finale Winners
SDYIC 2019 Grand Finale Winners

Cabaran Pereka Cipta Muda, geran inovasi bernilai RM60,000 untuk dimenangi

Mohd Khairi Mohamad Yusri
10 Sep 2021 02:30pm
A
A
A


SHAH ALAM - Sime Darby melalui Cabaran Pereka Cipta Muda Sime Darby 2021 (Sime Darby Young Innovators Challenge/SDYIC 2021) menyediakan jumlah geran inovasi bernilai RM60,000 yang menyasarkan 200 penyertaan dari sekolah menengah luar bandar.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby (YSD), Dr Yatela Zainal Abidin berkata, setakat ini sebanyak 120 sekolah menengah dari luar bandar telah mendaftar.

Pihaknya berharap jumlah penyertaan meningkat tahun ini berbanding 154 sekolah menengah luar bandar pada tahun lepas.

"Setakat ini seramai 2,227 pelajar dalam 794 pasukan daripada 384 sekolah telah berdaftar Kami harap lebih daripada 22 buah sekolah lagi akan mendaftar sebelum tarikh tutup.

"SDYIC 2021 sasar penyertaan lebih daripada itu kerana tahun lepas kami berjaya merekodkan 1,581 penyertaan melibatkan 610 pasukan daripada 406 sekolah menengah dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pihaknya turut mensasarkan keterlibatan lebih ramai pelajar perempuan menyertai SDYIC 2021.

Pasukan Pemenang Kejohanan Kebangsaan SDYIC 2019



"Tahun lepas, 40 peratus peserta adalah pelajar perempuan. Ini merupakan satu kejayaan. Tahun ini kami naikkan sasaran sebanyak 50 peratus. Setakat hari ini, kami telah mencapai 45 peratus," katanya.

Beliau turut mengakui setiap tahun dikejutkan dengan idea anak-anak muda yang sangat inovatif, kreatif, bernas dan berkualiti.

Kejohanan anjuran bersama Chumbaka itu mengumpulkan komuniti industri teknologi dan universiti untuk meraikan kreativiti serta daya cipta pelajar sekolah menengah di Malaysia.

SDYIC 2021 menawarkan jumlah geran inovasi bernilai RM60,000 yang membolehkan pasukan pemenang Kejohanan Kebangsaan SDYIC 2021 membangunkan prototaip inovatif untuk diguna pakai oleh komuniti.

"Anugerah ini adalah satu pengiktirafan atas usaha pelajar dan guru mempromosikan inovasi dan mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) selama ini.

"Ia juga menggalakkan penglibatan alumni SDYIC mempamerkan pencapaian, sumbangan dan impak mereka kepada masyarakat setempat setelah menyertai SDYIC," jelas Dr Yatela.

SDYIC 2021 dianjurkan dan diadili secara maya dan prototaip peserta akan dinilai dengan menggunakan platform Microsoft Teams.

Katanya, sesi pembentangan peserta akan diadili oleh para juri terdiri daripada pemimpin dan pakar industri termasuk Sime Darby.

Semasa Kejohanan Kebangsaan SDYIC 2021 pada November nanti, 15 pasukan yang dipilih untuk ke peringkat akhir akan dinilai berdasarkan kebolehlaksanaan dan kreativiti prototaip serta keberkesanan projek dalam komuniti.

Penyertaan SDYIC terdiri daripada dua atau tiga ahli dalan satu pasukan. Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif lain Yayasan Sime Darby boleh layari laman web: www.yayasansimedarby.com.


Kategori hadiah yang ditawarkan:
• Hadiah Utama - Jumlah Geran bernilai RM60,000
• Anugerah kategori khas/anugerah istimewa – Jumlah Baucar buku RM10,000
• Kategori Alumni – RM1,500 x 2 orang
• Kategori Guru Alumni – RM3,000 x 2 orang

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok