Cipta pengalaman berharga sepanjang Karnival Pendidikan Sinar Bestari
Masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing dalam melahirkan generasi muda yang akan mewarisi kepimpinan masa depan.
Ini kerana kemampuan dan kebolehan golongan muda masa kini perlu dicungkil sebaik mungkin terutamanya dalam dunia teknologi digital yang semakin berkembang pesat dan relevan masa kini.
Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf, Farah Hussamudin berkata, penganjuran Karnival Pendidikan Sinar Bestari pada 8 hingga 10 September depan adalah tepat dalam melahirkan anak-anak didik yang berilmu dan memberi manfaat kepada masyarakat sekitar.
“Menyedari dunia pendidikan amat penting kepada generasi baharu ini, maka timbul idea untuk mengadakan karnival yang bertemakan pendidikan sekali gus menghimpun pelbagai pempamer dalam satu masa.
“Saya yakin Karnival Pendidikan Sinar Bestari anjuran Sinar Harian, Sinar Bestari; dan juga Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor mampu memberi kenangan berharga kepada semua pengunjung yang hadir kerana bagi saya, mencipta pengalaman itu sangat mahal dan akan diingati sampai bila-bila,” ujarnya ketika berucap sempena Majlis Prapelancaran Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Dewan Karangkraf, Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Majlis dihadiri, Pengarah Pendidikan JPN Selangor, Dr Jafri Abu; Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli dan Pengurus Besar, Jualan Iklan Sinar Harian, Airol Fadley Limin.
Turut hadir, Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin; Editor Eksekutif Gaya Hidup dan Hiburan Sinar Harian merangkap Pengarah Projek, Meen Tahrin serta barisan Penolong Pengarah, Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) juga Sektor Pembangunan Murid, JPN Selangor.
Kolaborasi
Menurut Farah, pihaknya berterima kasih kepada JPN Selangor atas kesudian berkolaborasi dalam karnival yang julung kali diadakan itu.
“Tidak lupa juga kepada kumpulan pempamer yang terlibat dan bakal menyediakan pelbagai aktiviti fizikal dan digital kepada pengunjung.
“Kepada pengetua, guru besar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pula, besar harapan saya agar anda semua dapat membawa murid dan anak masing-masing ke karnival ini nanti,” tuturnya lagi.
Sementara itu, Jafri berkata, era baharu pendidikan hari ini sudah berubah dan kebanyakan daripadanya memberi fokus kepada kelancaran maklumat, media dan juga teknologi.
Sehubungan itu katanya, murid-murid perlu diberikan pendedahan kepada penggunaan teknologi seperti audiobooks, teknologi kecerdasan buatan (AI), Augmented Reality (AR), buku interaktif dan teknologi realiti maya (VR) dengan cara lebih dinamik supaya mereka dapat memanfaatkannya sebaik mungkin.
“Penganjuran Karnival Pendidikan Sinar Bestari adalah wadah terbaik dalam usaha memupuk kesedaran khalayak mengenai dunia pendidikan yang sedang pesat menuju ke arah pendigitalan.
“Malah, pemilihan tema iaitu Memacu Potensi Pendidikan Negara juga sangat relevan kepada generasi baharu yang lebih terdedah kepada platform pendigitalan dalam memperoleh pelbagai sumber maklumat dengan hanya di hujung jari.
“Ini bertepatan dengan tujuh teras utama Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menerajui sistem pendidikan negara iaitu Peningkatan Keupayaan Pendidikan Digital di sekolah, justeru, inilah platform paling sesuai untuk melahirkan warga pendidik yang sentiasa bersiap siaga menghadapi gelombang transformasi pendidikan negara,” ujarnya.
Dengan penganjuran karnival pendidikan itu, Jafri mengharapkan agar ia dapat menumpukan kepada konsep karamah insaniah dalam membina generasi baharu yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik bahkan juga sahsiah dan keterampilan kerana pendedahan di luar bilik darjah dalam program seperti ini sangat penting bagi mengasah minat murid selain daripada pendidikan formal dalam bilik darjah.
Mengulas lanjut, Jafri berkata, idea penubuhan Kelab TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) di bawah PSS juga adalah relevan dengan kemajuan media dalam teknologi dewasa ini.
“Dalam TVPSS, murid sekolah rendah dan menengah diberikan bimbingan dan latihan untuk menjadi wartawan ataupun penyampai berita.
“Manakala murid yang mempunyai kemahiran ‘belakang tabir’ seperti jurukamera, penulis skrip dan penerbit rancangan juga turut diasah bakatnya menerusi program tersebut.
“Oleh itu, program sebegini cukup bagus dan ia merupakan satu platform baik bagi murid membina keterampilan dan keyakinan diri masing-masing,” ujar beliau.
INFO
Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang berlangsung selama tiga hari bakal menampilkan pelbagai pertandingan dan aktiviti menarik kepada para pengunjung.
Antara pertandingan yang diadakan ialah kawad kaki, tarian, bola keranjang, koir, dikir barat, Sinar Bestari Got Talent, E-Games, pidato, cerpen, crossword puzzle, bicara berirama, bercerita Sirah Nabi, robotik, penglipur lara, Kids Quran Hour, doodle something nice dan explorefun.
Aktiviti lain yang disediakan sepanjang karnival berlangsung adalah demo Unit Beruniform daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bomba dan Penjara; Pameran Digital Skil dan Kerjaya serta lebih 50 pempamer lain seperti Bank Rakyat, KDEB Waste Management (KDEBWM), KPM, Israk Solutions Sdn Bhd, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Yayasan Selangor, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Kolej Risda, AirAsia Academy, Petrosains dan zoo mini Farm In The City, Planetarium Negara, Farm Fresh, AirAsia Academy, Grup Buku Karangkraf, Petrosains, Les' Copaque, AEON BiG Sdn Bhd (AEON BiG), Bank Muamalat, Bank Simpanan Nasional, Co-opbank Pertama (CBP), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Farm Fresh Selangor, Wardah dari Pharmacore Technology & Innovation dan juga Able Perfect Sdn Bhd.
Selain itu, turut berlangsung SinarPlus Makan Fest, jualan rahmah FAMA, rumah hantu, uji bakat TV PSS, pemeriksaan kesihatan dan gigi, zoo mini serta kereta kuda.
Bersempena karnival ini juga, pengunjung berpeluang membeli buku dan mendapatkan diskaun serta potongan 50 peratus kad keahlian percuma seumur hidup menerusi Jualan Gudang Karangkraf 2023 yang berlangsung 31 Ogos hingga 10 September 2023.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek akan merasmikan Karnival Pendidikan Sinar Bestari pada Jumaat, 8 September 2023, pukul 3 petang.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari portal Sinar Bestari, sinarbestari.sinarharian.com.my