bangman1
bangman1

Content creator Bang Man dah konvo, saran generasi muda guna media sosial untuk cari rezeki

Nor Azma  Muhamat LailaNor Azma  Muhamat Laila
22 Feb 2022 02:24pm
A
A
A

BATU PAHAT - Muhammad Aiman Salim, 26, atau lebih dikenali dengan nama 'Bang Man', siswazah Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melahirkan rasa syukur kerana impiannya untuk naik ke pentas akhirnya tercapai.

Anak muda yang makin dikenali di media sosial ini menerima Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat pada sidang pertama Majlis Penyampaian Skrol Graduan 2020 sempena Konvokesyen ke-20 UTHM yang berlangsung, baru-baru ini bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Hanya mahu dikenali sebagai content creator, Muhammad Aiman yang menggunakan akaun dengan nama @bangman30 atau @aimansalim_ ini kini mempunyai ratusan ribu pengikut di Instagram, Tik Tok dan Twitter.

Menurut Muhammad Aiman, untuk menjadi seorang content creator yang dikenali, dia sememangnya memerlukan masa, tenaga dan komitmen yang tinggi.

“Saya menjadi content creater sejak mula mendaftarkan diri sebagai pelajar program diploma lagi.

“Berbekalkan minat dan sedikit ilmu, saya mengambil peluang menggunakan saluran media sosial yang ada untuk menjana pendapatan sendiri.

Muhammad Aiman bersama ibu dan ayah - Gambar ihsan daripada Twitter @aimansalim_

Tambah Muhammad Aiman, dia perlu bijak membahagikan masa sehari-hari agar tanggungjawabnya sebagai pelajar tidak terabai.

“Saya cuba selesaikan kelas dan tugasan di sebelah siang, manakala pada sebelah malam saya lakukan kerja-kerja untuk media sosial pula,” jelasnya.

Muhammad Aiman menyeru kepada bakal-bakal graduan di luar sana untuk mencuba pelbagai peluang yang ada selain kerja makan gaji.

“Buat kawan-kawan di luar sana, jika anda rasa ada bakat yang ingin diketengahkan, jangan segan untuk tonjolkan di media sosial kerana saluran ini sangat berpotensi untuk dijadikan sumber rezeki.

“Ini kerana pengguna akaunnya sangat ramai dan promosi boleh dilakukan dengan lebih meluas bergantung kepada kreativiti dan kesungguhan masing-masing,” ujarnya.

Tahun ini, seramai 4,001 graduan layak menerima sijil masing-masing setelah berlangsungnya Istiadat Perisytiharan Penganugerahan Ijazah Sempena Majlis Konvokesyen Ke-20 UTHM.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok