Cuaca panas: Ini saranan KPM kepada institusi pendidikan
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meminta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan memastikan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan seluruh warga semasa berdepan dengan cuaca panas.
KPM menerusi kenyataan menggesa kesemua institusi pendidikan memberi pertimbangan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana memakai pakaian sukan yang sopan semasa cuaca panas berdasarkan keperluan serta situasi semasa di institusi masing-masing.
Menurutnya, institusi pendidikan di bawah kementerian itu dinasihatkan agar sentiasa mengikuti garis panduan yang ditetapkan, selain peka dengan perkembangan semasa di media mengenai fenomena cuaca panas di kawasan masing-masing.
“KPM prihatin terhadap penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru serta seluruh warga institusi pendidikan semasa menghadapi keadaan cuaca panas atau sebarang keadaan cuaca di luar jangka.
“Justeru, KPM meminta seluruh JPN, PPD dan semua institusi pendidikan untuk melaksanakan langkah pencegahan yang telah ditetapkan,” menurutnya pada Selasa.
Antara langkah berikut adalah:
1) Menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah jika cuaca terlalu panas.
2) Memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.
3) Memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi di institusi pendidikan bawah KPM dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri bagi yang tidak berpuasa atau murid bukan Islam.
4) Menasihati dan menggalakkan murid mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan.
5) Membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman.
6) Sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas.