KPM beri kelonggaran kepada guru dan pelajar untuk memakai pakaian sukan pada setiap hari. Kredit foto: Facebook SK Kg Johan Setia
KPM beri kelonggaran kepada guru dan pelajar untuk memakai pakaian sukan pada setiap hari. Kredit foto: Facebook SK Kg Johan Setia

Cuaca panas: KPM benarkan guru, pelajar pakai pakaian sukan setiap hari

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
03 May 2023 11:58am
A
A
A

"Bukan hanya pelajar yang boleh mengenakan baju-T Pendidikan Jasmani (sukan) sebaliknya guru juga dibenarkan memakai pakaian sukan.

Demikian kata Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), Kementerian Pendidikan (KPM), Dr Ahmad Rafee Che Kassim pada Selasa.

Menurut beliau, KPM beri kelonggaran itu kepada warga sekolah termasuk guru dan pelajar berikutan cuaca panas melampau ketika ini.

“Mereka boleh memakai baju-T sukan setiap hari semasa sesi persekolahan.

"Sebagai solidariti kepada warga pendidik, warga KPM akan turut memakai baju-T sukan esok," katanya selepas Majlis Pra Pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 dan Sambutan Aidilfitri Industri Perbukuan di Cyberjaya.

Hadir sama, Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiron.

Mengulas lanjut mengenai fenomena cuaca panas, Ahmad Rafee berkata, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak akan dilaksanakan sekiranya ada sekolah yang memohon penutupan sekolah buat sementara waktu.

Bagaimanapun katanya, hari persekolahan mungkin diganti mengikut tarikh yang akan ditentukan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing.

"Apabila sekolah ditutup, kita akan lihat sejauh mana (situasinya). Kalau tempohnya panjang, kita akan lihat mekanisme (dilaksanakan) sebelum ini.

"Dalam garis panduan KPM sebelum ini juga dinyatakan, kalau sekolah tutup ia mungkin perlu diganti.

"Jadi Pengarah Pendidikan Negeri akan maklumkan bila tarikh sesuai untuk ganti sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Disebabkan itu tidak ada PdPR," jelasnya.

Berhubung mekanisme bagi penutupan sekolah, Ahmad Rafee berkata, ia tertakluk kepada garis panduan yang telah dikeluarkan KPM iaitu suhu melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

"Pihak sekolah boleh memohon untuk penutupan sekolah kepada pihak pendaftar atau Pengarah Negeri (masing-masing). Pengarah Negeri akan keluarkan kelulusan serta merta berhubung perkara ini.

"Mekanismenya sudah ada, cuma syor KPM supaya semua pihak khususnya di sekolah memantau kesihatan murid sebaik mungkin.

“Untuk guru, pastikan aktiviti di luar kelas tidak diadakan dalam keadaan cuaca panas sebegini sebaliknya buatlah aktiviti di dalam kelas.

"Kepada ibu bapa pula, dinasihatkan supaya membekalkan air kepada anak-anak dan beri ingatan kepada mereka supaya minum air secukupnya," ujar beliau.

Baru-baru ini, satu garis panduan dikeluarkan KPM susulan situasi semasa cuaca panas di beberapa lokasi di seluruh negara ketika ini.

Menurut pekeliling tersebut, semua aktiviti luar perlu dihentikan jika status suhu harian bagi cuaca panas berada pada tahap amaran pertama dengan suhu tertinggi melebihi 35 hingga 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut.

Manakala sekolah dibenarkan ditutup sekiranya keadaan cuaca panas berada pada tahap amaran kedua dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius bagi tempoh sama.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok