Fadhlina berkata, pelaksanaan kurikulum baharu itu kini dalam peringkat persiapan dan akan dimulakan terlebih dahulu di peringkat prasekolah.
Fadhlina berkata, pelaksanaan kurikulum baharu itu kini dalam peringkat persiapan dan akan dimulakan terlebih dahulu di peringkat prasekolah.

Dewan Rakyat: Subjek Pendidikan Karakter bermula tahun depan

17 Oct 2025 09:07am

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan subjek Pendidikan Karakter mulai tahun hadapan, sebagai langkah memperkukuh pembentukan sahsiah dan keperibadian murid.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelaksanaan kurikulum baharu itu kini dalam peringkat persiapan dan akan dimulakan terlebih dahulu di peringkat prasekolah sebelum diperluas ke peringkat seterusnya.

Menurutnya, Pendidikan Karakter bakal menjadi komponen utama dalam Kurikulum Persekolahan 2027, selaras dengan usaha KPM menekankan nilai moral, akhlak dan pembinaan jati diri dalam sistem pendidikan negara.

"Kurikulum baharu 2027 ini akan memperkenalkan mata pelajaran penting yang menjadi asas kepada semua iaitu Pendidikan Karakter.

"Ia akan menjadi teras utama dalam pelaksanaan kurikulum bermula tahun 2026,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat.

Fadhlina menjelaskan, pendekatan pendidikan berasaskan karakter akan menjadi landasan utama yang menyatukan keseluruhan sistem pembelajaran baharu KPM, seiring hasrat warga pendidik untuk melahirkan generasi pelajar berakhlak tinggi dan berkeperibadian seimbang.

Berhubung usaha menangani isu kesihatan mental dalam kalangan murid, Fadhlina memaklumkan bahawa KPM melaksanakan saringan minda sihat dua kali setahun di sekolah.

"Jika terdapat tanda-tanda tekanan atau kemurungan, murid akan dirujuk untuk mendapatkan intervensi dan sokongan daripada pihak berautoriti termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, intervensi melalui pakar psikiatri telah dijalankan, namun langkah pembaharuan segera akan memperkukuh lagi pendekatan tersebut melalui latihan dan program khusus bagi guru serta kaunselor. - Astro Awani

 

 

Ringkasan AI

  • Kementerian Pendidikan Malaysia akan memperkenalkan subjek Pendidikan Karakter mulai tahun hadapan
  • Pelaksanaan kurikulum baru akan dimulakan di peringkat prasekolah
  • Pendidikan Karakter akan menjadi komponen utama dalam Kurikulum Persekolahan 2027
  • Kurikulum bertujuan untuk menekankan nilai moral, akhlak, dan pembinaan jati diri
  • KPM juga melaksanakan saringan minda sihat dua kali setahun untuk menangani isu kesihatan mental dalam kalangan murid
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp