
Doa, sedekah & bacaan al-Quran antara 5 amalan terbaik ibu bapa bantu anak cemerlang peperiksaan - Ustazah Aminah
Selepas hampir setahun menimba ilmu, kini tibalah masa untuk murid dan pelajar menilai hasil usaha mereka sepanjang tahun.
Terbaharu, Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) sedang berlangsung di seluruh negara, melibatkan murid Tahun Empat, Lima dan Enam di sekolah rendah serta Tingkatan Satu, Dua dan Tiga di sekolah menengah.
Penilaian ini merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mengukur tahap penguasaan murid pada akhir sesi persekolahan, selaras dengan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang menilai potensi pelajar secara menyeluruh.
Dalam masa sama, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 turut menghitung hari menuju detik penting dalam hidup mereka.
Peperiksaan akan dimulakan dengan:
1) Ujian Bertutur Bahasa Melayu (3 hingga 6 November)
2) Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (10 hingga 13 November)
3) Ujian Amali Sains (17 hingga 19 November)
4) Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (20 November)
5) Peperiksaan bertulis SPM (25 November hingga 23 Disember)
Saat anak-anak menghadapi debaran peperiksaan, ibu bapa juga tidak terkecuali merasai tekanan dan kebimbangan yang sama.
Namun, di sebalik keresahan itu, kasih sayang dan bimbingan daripada ibu bapa mampu menjadi penawar terbaik buat anak-anak yang sedang berjuang.
Baru-baru ini, perkongsian daripada Guru Cemerlang, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Puteri, Batu Pahat, Johor, Ustazah Aminah Mat Yusoff, menarik perhatian Sinar Bestari apabila beliau berkongsi lima amalan terbaik untuk ibu bapa lakukan sepanjang musim peperiksaan.
Menurutnya, amalan tersebut dipelajari daripada seorang sahabat yang memiliki anak-anak cemerlang dalam pelajaran dan akhlak.
Berikut perkongsian menarik daripada beliau.
1) Doa yang paling baik, rugi jika tidak amalkan
اللهُمَّ لا سَهْلَ إلا مَا جَعَلتَهُ سَهْلا وَ أنتَ تَجْعَلُ الحزْنَ إذا شِئْتَ سَهْلا
"Allahumma la sahla illa ma ja’altahu sahla, wa ‘anta taj-alul hazna idha shi’ta sahla"
Maksud: “Ya ALLAH, tiada kemudahan melainkan apa yang engkau jadikan mudah dan engkau dapat menjadikan tanah (yang sulit dan keras), (yakni kesusahan) itu mudah jika engkau mahukan” - Hadith diriwayatkan Ibnu Sinni & Ibnu Hibban
Semasa bacakan doa ini, niatkan dalam hati supaya anak-anak dipermudahkan menjawab soalan, dipermudahkan memahami kehendak soalan dan dikurniakan kekuatan oleh ALLAH untuk memberikan jawapan yang terbaik.

2) Sedekah mengikut jumlah hari peperiksaan
Pada hari-hari peperiksaan, ibu ayah dermalah dalam tabung masjid. Jika jumlah hari peperiksaannya tujuh hari maka infaq yang dilakukan juga tujuh kali.
Jumlah tidak semestinya banyak sebaliknya sedekahlah mengikut kemampuan. Ingat, jangan sampai rasa terbeban dan hilangnya keikhlasan.
Jangan lupa niatkan sedekah ini atas nama anak dengan tujuan merungkaikan segala kekusutan dan kepayahan yang dihadapi. Paling penting, mohon ALLAH kurniakan kesihatan yang terbaik buat mereka.

3) Bacaan al-Quran
Saya pernah kongsikan satu kisah di mana seorang ayah yang mengambil cuti sepanjang anaknya menghadapi peperiksaan.
Bermula anaknya menjawab soalan sehingga selesai kertas pertama kedua dan seterusnya dia setia berada di kawasan sekolah. Dalam kereta dia mengalunkan ayat suci al-Quran tanpa henti dan antara surah yang dibaca ialah surah Yasin.
Akhirnya usaha itu memberi kejayaan yang sangat cemerlang kepada anaknya iaitu dari 1A semasa percubaan melonjak kepada straight A dalam peperiksaan sebenar.
Kuasa ALLAH, tidak ada yang mustahil untuk dicapai.
Saya selalu pesan pada murid, jangan takut untuk meminta yang hebat-hebat dari ALLAH, kerana ALLAH itu Maha Berkuasa untuk tunaikan permintaan kita. Sungguh tidak ada yang mustahil bagi Ya Rabb.

4) Belanja makan dan tunaikan hajat anak yatim
Belanja makan fakir miskin, anak yatim, kawan dan jiran. Boleh juga belikan air minuman dan kismis kemudian sedekahkan kepada rakan sekelas anak-anak kita.
Kemudian, tunaikan hajat dan permintaan anak yatim. Gembirakan hati mereka dan layani dengan perkara yang anak-anak ini suka. Setiap kebaikan yang ibu ayah lakukan demi anak mesti kesannya sangat hebat.

5) Puasa dan solat hajat
Doa orang yang berpuasa sangat mustajab. Lebih-lebih lagi jika ia dari seorang ibu dan bapa. Amalan ini sangat popular, selalu sangat dilakukan dan kesannya memang sangat hebat.
Ada anak yang mengakui mudahnya mereka menjawab soalan malah urusan lain juga ALLAH permudahkan.
Sebenarnya segala usaha dan amalan di atas adalah bukti bahawa ibu bapa sedang meredai segala usaha yang dilakukan oleh seorang anak.
Daripada reda ibu bapa, anak-anak akan mendapat reda ALLAH dan ini adalah resipi sebenar kejayaan seorang anak.
Ringkasan AI
- Selepas hampir setahun menimba ilmu, saat untuk murid dan pelajar menilai hasil usaha mereka sepanjang tahun telah tiba
- Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) sedang berlangsung untuk murid Tahun Empat, Lima dan Enam sekolah rendah serta Tingkatan Satu, Dua dan Tiga sekolah menengah di seluruh negara
- Penilaian ini adalah inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengukur tahap penguasaan murid pada akhir sesi persekolahan
- Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 juga menghitung hari menuju peperiksaan penting
- Ibu bapa memainkan peranan penting dengan bimbingan dan doa bagi membantu anak-anak dalam menghadapi peperiksaan