Aznan berkata, KKM telah melaksanakan saringan kontak rapat dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan penularan tibi dapat dibendung sepenuhnya.
Aznan berkata, KKM telah melaksanakan saringan kontak rapat dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan penularan tibi dapat dibendung sepenuhnya.

Enam murid di Kota Tinggi disahkan hidap tibi

06 Feb 2026 09:42am

Enam murid di sekolah daerah Kota Tinggi, Johor disahkan menghidap penyakit Tuberkulosis (tibi) hasil saringan kontak rapat yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM), namun keadaan dilaporkan terkawal dengan kesemua murid terlibat kini menerima rawatan dan pemantauan rapi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri, Aznan Tamin berkata, kes yang disahkan itu membabitkan empat murid lelaki dan dua murid perempuan, dengan kesemuanya telah diarahkan menjalani kuarantin mengikut prosedur kesihatan yang ditetapkan.

Beliau berkata, setakat ini, tiada sebarang arahan penutupan sekolah dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan memandangkan penularan penyakit itu berada dalam keadaan terkawal.

"KKM telah melaksanakan saringan kontak rapat dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan penularan penyakit ini dapat dibendung sepenuhnya," katanya dalam kenyataan. 

Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) turut turun ke sekolah-sekolah terlibat bagi mengadakan sesi perjumpaan dan penerangan bersama pihak pengurusan sebagai langkah memberi kefahaman mengenai penyakit tibi serta langkah pencegahan yang perlu dipatuhi oleh murid, guru dan ibu bapa.

Aznan berkata, pihak sekolah juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi segala garis panduan dan arahan yang dikeluarkan KKM dari semasa ke semasa, khususnya melibatkan aspek kebersihan persekitaran sekolah serta pemantauan kesihatan murid.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih atau spekulasi berkaitan kes itu kerana ia boleh menimbulkan kebimbangan dan panik dalam kalangan masyarakat.

"Sebarang maklumat rasmi hendaklah dirujuk kepada kenyataan KKM atau saluran rasmi Kerajaan Negeri Johor," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri kekal komited untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga sekolah sentiasa terpelihara, selain akan terus bekerjasama rapat dengan KKM dan semua agensi berkaitan bagi mengekang penularan penyakit berjangkit di negeri itu.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kluster berkenaan dikesan pada 25 Jan lepas, dengan 33 kes positif dikenal pasti hasil saringan ke atas 804 kontak rapat setakat 4 Feb. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Enam murid di sekolah daerah Kota Tinggi disahkan menghidap Tuberkulosis dan kini menerima rawatan serta pemantauan rapi
  • Murid yang terlibat terdiri daripada empat lelaki dan dua perempuan, semuanya menjalani kuarantin mengikut prosedur kesihatan yang ditetapkan
  • Tiada arahan penutupan sekolah dikeluarkan memandangkan situasi penularan berada dalam keadaan terkawal
  • KKM melaksanakan saringan kontak rapat dan mengambil langkah pencegahan untuk menghindari penularan penyakit lebih lanjut
  • Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mengadakan sesi perjumpaan dan penerangan di sekolah-sekolah terlibat bagi meningkatkan kesedaran tentang Tuberkulosis serta pencegahannya
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp