
Fakta penting Universiti Mu'tah
Tragedi kemalangan jalan raya yang menimpa empat pelajar Malaysia di Universiti Mu'tah, Jordan, telah menyentuh hati rakyat Malaysia.
Ia mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat yang menzahirkan rasa simpati, doa dan keprihatinan terhadap mereka berkenaan.
Muhammad Zaqwan Azhar Masjudin, Muhammad Ilham Dzurllkanian @ Zulkarnian, Sumayya Azamuddin dan Fatimah Nuha Mustaza merupakan pelajar yang terlibat dalam kemalangan itu.
Masing-masing adalah pelajar bidang Fiqh Wa Usul serta Bahasa Arab Dan Kesusteraan.
Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), pihaknya sedang memantau rapi keadaan empat pelajar tersebut.
Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, tiga daripadanya dalam keadaan stabil manakala seorang lagi memerlukan perhatian rapi kerana mengalami kecederaan parah.
"Pihak Education Malaysia Jordan (EMJ) telah beritahu (keadaan mereka) dan akan memaklumkan kepada kita (KPT) dari semasa ke semasa tentang situasi pelajar-pelajar ini," ujar Zambry.
Susulan peristiwa berkenaan, Sinar Bestari ingin berkongsi latar belakang Universiti Mu'tah secara ringkas.
Universiti Mu’tah adalah universiti awam yang terletak di Mu’tah, Karak, Jordan.
Ia dibina pada 22 Mac 1981 dan mengambil masa sekitar dua hingga tiga jam perjalanan dari Kota Amman (ibu negara Jordan) ke Mu’tah.
Menurut info di Facebook Study In Jordan, Universiti Mu'tah ditubuhkan hasil cetusan idea Raja Hussein bin Talal.
Nama Mu'tah diambil sempena lokasi perang Mu'tah yang telah menyaksikan ketiga-tiga panglima dilantik Nabi Muhammad SAW gugur syahid di medan ini.
Mahasiswa Malaysia di Universiti Mu’tah rata-ratanya melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam pengkhususan seperti Pengajian Fiqh & Usul Fiqh (Fakulti Syariah), Pengajian Usuluddin (Fakulti Syariah) serta Pengajian Bahasa Arab & Kesusasteraan (Fakulti Sastera).
Ketiga-tiga pengajian Ijazah Sarjana Muda di universiti ini diiktiraf oleh Malaysia melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Wakil kesatuan bagi para penuntut Malaysia di Mu’tah adalah Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu’tah atau PERMATA.
Ia memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan pelajar dan memperkukuhkan ukhuwah sesama mereka.