Tangkap layar FB 'Grup Budak-budak Sekolah Rendah' yang kini sudah tidak boleh diakses.
Tangkap layar FB 'Grup Budak-budak Sekolah Rendah' yang kini sudah tidak boleh diakses.

FB 'Grup Budak-budak Sekolah Rendah' sudah tidak boleh diakses!

12 Jun 2025 01:49pm

Kumpulan Facebook (FB) dikenali sebagai 'Grup Budak-budak Sekolah Rendah' yang sebelum ini mencetuskan kemarahan ramai susulan penyebaran gambar remaja perempuan dengan tujuan tidak senonoh, didapati tidak lagi boleh diakses sejak petang Rabu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati cubaan untuk mengakses kumpulan berkenaan yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai public group gagal dilakukan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada kumpulan itu telah ditukar status kepada grup tertutup oleh pentadbir akaun atau ia telah diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Terdahulu, pempengaruh media sosial, Mek Yun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee, 28, mendedahkan mengenai kewujudan kumpulan terbabit dan menggesa pihak berkuasa bertindak segera bagi menyekat penyebaran kandungan tidak bermoral itu.

Mek Yun yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul, Pulau Pinang meluahkan rasa terkejut apabila mendapati gambarnya ketika zaman persekolahan turut dimuat naik ke dalam kumpulan tersebut tanpa sebarang kebenaran.

"Saya dimaklumkan mengenai perkara ini oleh pengikut Instagram yang ternampak gambar saya dimuat naik di laman berkenaan. Saya sendiri tidak sanggup untuk skrol kandungan kumpulan itu kerana jijik dengan komen berbaur lucah yang ditinggalkan oleh lelaki-lelaki tidak bermoral.

"Kandungan forum tersebut dipenuhi dengan gambar-gambar pelajar sekolah yang dijadikan bahan perbualan fantasi jelik terhadap remaja bawah umur. Saya telah membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut," katanya.

Difahamkan, kumpulan itu telah wujud sejak 15 Mei 2014 dan mempunyai kira-kira 12,000 ahli.

Artikel Berkaitan:

Kandungannya terbuka kepada sesiapa sahaja untuk memuat naik gambar dan hantaran.

Antara kandungan yang dikesan termasuk gambar kanak-kanak perempuan bersama kapsyen berunsur lucah dan tidak bermoral sekali gus menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan masyarakat.

Pihak berkuasa setakat ini belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tindakan susulan terhadap kumpulan terbabit.

*WARTAWAN SINAR HARIAN

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp