
Gagasan pemimpin, panduan anak muda
Sebagai usaha mengangkat dan mengabadikan legasi pemikiran tokoh negara yang banyak menyumbang kepada pembangunan sahsiah serta pendidikan, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) menganjurkan Simposium Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Antara panel yang terlibat untuk membicarakan topik-topik pilihan ialah mantan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Mohd Sidek Hassan; bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri ke-5, Datuk Othman Desa dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Ikuti perkongsian Sinar Bestari mengenai program yang menghimpunkan tokoh akademik, penyelidik, pelajar dan pemimpin masyarakat yang berlangsung di UPTM baru-baru ini.
Falsafah, amalan baik perlu diwarisi
Dalam arus pembangunan pesat, falsafah pemikiran dan amalan baik yang pernah dilaksanakan oleh pemimpin terdahulu wajar dijadikan panduan atau pedoman buat generasi baharu.
Naib Canselor UPTM, Profesor Dr Sharifah Syahirah Sy Sheikh berkata, pihaknya tampil menyemarakkan kembali gagasan, prinsip serta pendekatan kepimpinan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah.
Simposium itu juga bertujuan menyelami visi dan nilai yang menjadi tunjang kepada pembangunan negara inklusif dan berteraskan kemanusiaan.

Menurutnya, ia seharus seperti yang diperjuangkan oleh Allahyarham Pak Lah semasa menerajui negara.
“Sebagai sebuah universiti, UPTM ingin memastikan falsafah dan amalan baik Pak Lah sentiasa diwarisi dan diamalkan oleh generasi muda dan akan datang.
“Insya-ALLAH hasil perbincangan akan dibukukan dan modul kepimpinam berteraskan gaya kepimpinan Pak Lah juga akan diperkenalkan,” katanya.
Ditanya tentang pemilihan pemimpin itu, Sharifah Syahirah menyatakan simposium berkenaan diilhamkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Majlis Pemasyhuran Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Abdullah Ahmad Badawi, Pulau Pinang pada 12 Mei lalu.
“Sebagai universiti yang memberi fokus utama kepada sains kemanusiaan, profesional dan teknologi, UPTM amat berbangga dapat meneraju inisiatif mengetengahkan dasar, kepimpinan dan pemikiran Pak Lah.
“Fokus Simposium ini merangkumi tiga forum utama yang mengetengahkan perbincangan berkaitan kepimpinan, dasar, gaya pentadbiran dan imej Malaysia sepanjang pentadbirannya,” katanya.
Buku hasil perbincangan simposium
Sebagai usaha memperkukuh nilai pemikiran dan memperluas dampak intelektual, UPTM mengambil inisiatif menghasilkan naskhah buku khas yang menghimpunkan hasil perbincangan sepanjang Simposium Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Ia bukan sekadar memperingati jasa Allahyarham sebagai tokoh negarawan dan pemikir negara, malah menjadi manifestasi komitmen UPTM dalam menyemai budaya ilmu serta menghargai warisan pemikiran tokoh besar negara.

Sharifah Syahirah berkata, bahan bacaan itu akan menjadi rujukan penting buat mahasiswa, pendidik, penyelidik dan masyarakat untuk memahami prinsip kepimpinan beliau.
“Untuk rancangan jangka panjang pula UPTM berhasrat menubuhkan sebuah platform Pemikiran Pak Lah sebagai satu hab mengkaji dan mengumpulkan kajian pemikiran Allahyarham,” katanya.
Menerusi penghasilan itu, Sharifah Syahirah berkata, UPTM percaya bahawa legasi Pak Lah bukan sekadar dikenang tetapi terus dihidupkan melalui wacana, pendidikan dan pemikiran generasi masa hadapan.