Guru besar, pengetua harus beri perhatian serius kesalahan salah guna kuasa
Guru besar, pengetua harus beri perhatian serius kesalahan salah guna kuasa

Guru besar, pengetua harus beri perhatian serius kesalahan salah guna kuasa

Azliyana Sulaiman
31 Dec 2020 01:26am
A
A
A

SANDAKAN - Warga pendidik, khususnya guru besar dan pengetua sekolah, harus memberi perhatian serius terhadap kesalahan penyalahgunaan kuasa, terutamanya dalam pemberian kontrak sekolah kepada ahli keluarga.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, S Karunanithy berkata tindakan memberi kontrak kepada ahli keluarga merupakan kesalahan serius membabitkan seorang guru besar atau pengetua.

"SPRM sering menerima banyak aduan mengenai kesalahan ini, walaupun telah jelas bahawa guru besar dan pengetua tidak boleh menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan, termasuk memberi kontrak kepada syarikat ahli keluarga.

Tahun ini sahaja ada enam kes di Sabah yang telah dituduh di mahkamah dan SPRM sentiasa mengadakan program kesedaran agar perkara ini tidak lagi berlaku," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat pada Program Bicara Awal Tahun Pengarah Pendidikan Sabah bagi Zon Sandakan di sini semalam.

Karunanithy turut menasihatkan guru besar dan pengetua supaya mengeluarkan nama syarikat ahli keluarga yang tersenarai untuk pertimbangan mendapatkan kontrak di sekolah masing-masing.

Katanya lagi, syarikat yang guru besar atau pengetua mempunyai kepentingan itu perlu dicatatkan dalam minit mesyuarat proses pemberian kontrak sebagai syarikat yang telah dikeluarkan daripada senarai pemohon kontrak.

Pengarah Pendidikan Sabah Dr Mistirine Radin berkata program berkenaan diadakan setiap awal tahun bagi berkongsi maklumat pengurusan sekolah dan sering menjemput pegawai SPRM untuk memberi taklimat.

"Kami (Jabatan Pendidikan Sabah) bukan sahaja mahu menjadikan pendidikan itu telus kepada murid, tetapi juga mahu mendidik guru, guru besar dan pengetua serta pegawai pendidikan daerah supaya kesalahan membabitkan guru tidak lagi berulang...tidak mahu kes baharu," katanya. - Bernama

Artikel Menarik:

SUTAMA kongsi rahsia cemerlang dan cara cari dana dengan KISAS pada lawatan penanda aras

'Hafal pecahan popular ini' - Pesanan penting cikgu Matematik untuk calon UPSR

Teknik Cabang bantu murid lemah, sederhana dan cemerlang bina karangan panjang, seragam

Cikgu takkan menyesal guna cara ini tarik minat murid lemah belajar

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok