Cikgu George tinggal di stor berkeluasan 2.74 meter lebar dan 4.87 meter panjang, disebabkan sekolah itu dibina tanpa ada kemudahan rumah guru walaupun berada jauh di pedalaman.
Cikgu George tinggal di stor berkeluasan 2.74 meter lebar dan 4.87 meter panjang, disebabkan sekolah itu dibina tanpa ada kemudahan rumah guru walaupun berada jauh di pedalaman.

Guru Besar tinggal dalam stor sekolah dapat perhatian KPM! Tak sangka ini yang dilakukan kementerian terhadap SK Ulu Ansuan

ROSHLAWATY MD RAIEH
20 Nov 2023 02:06pm
A
A
A

Video tular memaparkan seorang Guru Besar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, Telupid, Sabah, George Odol yang tinggal di stor sekolah lebih tiga tahun sejak berkhidmat di sekolah berkenaan kini mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana ia melibatkan kesejahteraan guru, murid dan seluruh warga sekolah.

Justeru, KPM dalam kenyataan media pada Ahad memaklumkan yang pihaknya akan mengambil tindakan untuk menambah baik akses dan fasiliti pendidikan di SK Ulu Ansuan.

Kata KPM, kerja-kerja pembinaan melibatkan pembinaan blok akademik dan pentadbiran serta kemudahan lain termasuk pembelian perabot sedang rancak berjalan.

Malah, SK Ulu Ansuan juga telah diluluskan pembinaan empat unit kuarters baharu semasa pembentangan Belanjawan 2024 yang lalu.

“Kesemua projek penambahbaikan akses dan fasiliti pendidikan di SK Ulu Ansuan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM12.5 juta.

“Bagi penyelesaian jangka pendek kediaman guru di sekolah tersebut pula, KPM telah siap melaksanakan projek selenggara kuarters dengan peruntukan RM200,000.

“KPM terus tekad untuk menambah baik akses dan fasiliti di semua sekolah di seluruh negara yang memerlukan perhatian bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kebajikan guru, murid serta seluruh warga sekolah terpelihara,” ujar kementerian itu.

Terdahulu, kisah Cikgu George yang sanggup tinggal di sebuah stor sekolah sejak dipindahkan ke sekolah tersebut lebih tiga tahun lalu telah menarik perhatian seluruh masyarakat di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Ramai meluahkan rasa sebak dan kagum mereka terhadap pengorbanan (tinggal di stor sekolah) dilakukan Cikgu George dalam memberikan pendidikan terbaik untuk anak bangsanya.

Cikgu George, yang akan bersara wajib pada 27 November ini berkata, beliau tinggal di stor berkeluasan 2.74 meter lebar dan 4.87 meter panjang, disebabkan sekolah itu dibina tanpa ada kemudahan rumah guru walaupun berada jauh di pedalaman.

"Saya terpaksa berkongsi dapur dan kamar mandi untuk kelas pra-sekolah.

“Agak sedih juga dengan situasi ini. Apa boleh buat kami guru-guru terpaksa korbankan keselesaan datang ke sekolah pedalaman demi anak-anak murid," ujarnya yang berasal daripada etnik Kadazandusun

Telupid merupakan sebuah daerah di kawasan pedalaman Sabah dan SK Ulu Ansuan terletak kira-kira 230 kilometer dari Kota Kinabalu, dengan perjalanan antara lain menelusuri kaki Gunung Kinabalu serta jalan raya yang kurang baik dan jalan tanah merah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok