251021-portal cikgu
251021-portal cikgu

Guru cemerlang Kimia terima anugerah antarabangsa

webadmin
25 Oct 2021 02:50pm
A
A
A

IPOH - Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ave Maria Convent Ipoh, yang pernah menerima Anugerah Guru Cemerlang Kimia sebelum ini, menerima anugerah antarabangsa Global Teacher Award 2021.

V Komathy, 38, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ave Maria Convent di sini, menerima pengiktirafan itu pada majlis yang diadakan secara maya di laman Facebook dan saluran YouTube AKS Education Awards, semalam.

V Komathy

Komathy merupakan lulusan Sarjana Pendidikan Kimia dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kini sedang melanjutkan pengajian kedoktoran pelajaran dalam Pendidikan Kimia di universiti sama.

Beliau merupakan antara 26,000 peserta dari seluruh dunia yang disenarai pendek untuk menerima anugerah tersebut.

Sepanjang 14 tahun bergelar pendidik, beliau bukan sahaja menjadi guru akademik bagi subjek Kimia, tetapi turut aktif dalam bidang inovasi sehingga namanya dikenali di peringkat antarabangsa.

Sepanjang 14 tahun bergelar pendidik, Komathy turut aktif dalam bidang inovasi.

Antara produk inovasi terbaik pernah dihasilkan ialah Chem-Ester Kit: Chem-Ester Kit 2.0 iaitu produk PdPC Kimia dan Biomass Activated Carbon (BAC) for Toxic Dyes Removal: Towards a Sustainable environment yang merupakan produk aplikasi ilmu Kimia dalam penyelesaian masalah.

Ketika ditemui, Komathy berkata, pengiktirafan yang diterima itu menjadi penyuntik semangat dan motivasi kepada dirinya untuk membawa lebih banyak pembaharuan dalam pembelajaran kimia.

Penghargaan ini begitu besar dan sebagai guru sudah tentu saya terharu serta berbangga kerana usaha kecil yang dilakukan selama ini mendapat perhatian pelbagai pihak.

Saya harap pengiktirafan ini dapat dijadikan inspirasi kepada guru-guru lain untuk berusaha lebih gigih mendidik anak bangsa dengan cemerlang, katanya.

Penerima Anugerah Wanita Inspirasi Global 2021 dan pingat emas bagi Pameran Inovasi Saintis Muda Malaysia 2021 (Mysie2021) (Sains Persekitaran) itu berkata, kreativiti dan inovasi dalam pembelajaran mampu meningkatkan minat pelajar terhadap subjek Sains.

Atas faktor itu, beliau sedaya upaya menambah baik kaedah mengajar menerusi penghasilan inovasi subjek Kimia bagi memudahkan proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) dalam bilik darjah.

Kimia memang subjek kurang digemari kerana penuh formula dan banyak melibatkan pengiraan, sebab itu perlu mendidik dengan cara menghiburkan untuk menarik minat pelajar dalam mata pelajaran ini supaya tidak mudah putus asa untuk belajar, katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok