Ahmad Zahid
Ahmad Zahid

Guru & murid bukan bahan uji kaji - Ahmad Zahid

18 May 2025 12:21am

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta supaya guru dan murid tidak dijadikan bahan uji kaji dengan sering kali menukar agenda serta sistem pendidikan negara.

Beliau berkata, walaupun menteri silih berganti, sektor pendidikan tidak boleh dilihat dalam jangka masa lima tahun sahaja, sebaliknya perlu perancangan untuk tempoh 50 tahun akan datang.

"Jangan setiap lima tahun selepas pilihan raya - menteri, sistem, sukatan pelajaran semua diganti. Guru dan murid ini bukan bahan uji kaji, sistem itu mesti berjalan terus.

"Jangan kerana kita mahu wujudkan satu legasi untuk kepentingan peribadi guru dijadikan mangsa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-54 di Kuching, Sarawak.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya telah menggariskan beberapa hala tuju utama dalam membina semula ekosistem pendidikan termasuk merombak sistem tugasan guru agar mereka kembali kepada peranan asal.

"Guru juga harus menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan automasi secara bijak untuk meminimumkan kerja dan mengoptimumkan masa bersama murid,” katanya.

Beliau berkata, transformasi digital juga harus diutamakan dan disegerakan bagi memudahkan urusan guru.

Artikel Berkaitan:

"Penguasaan teknologi digital mesti disegerakan. Dalam era ini, budaya penyesuaian berteraskan teknologi akan menjamin kemampanan pendidikan.

"Pastikan semua guru mampu mengintegrasikan teknologi dan murid menjadi pengguna digital yang fasih dan beretika," katanya. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp