Untitled (27)
Untitled (27)

Hadapi masalah kewangan, 2 pelajar terima sumbangan UMK

Nor Azma  Muhamat Laila
04 Oct 2021 09:42pm
A
A
A

PASIR MAS - Hasrat dua pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akhirnya tercapai selepas kisahnya yang tular di media sosial mendapat perhatian Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Razli Che Razak.

Pelajar berkenaan, Mohamad Zil Alif Alias, 19, dan Mohamad Firdaus Zamzu, 19, merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim II, Pasir Mas, dipercayai mengalami masalah kewangan dan terpaksa menangguhkan pengajian.

Menurut Prof Razli, kedua-duanya mendapat tawaran untuk melanjutkan program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan Dengan Kepujian, di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) bagi Sesi September 2021/22.

Katanya, melalui inisiatif dan keperihatinan pihak UMK kedua-dua pelajar telah berjaya mendaftar secara dalam talian pada hari pendaftaran yang dibuka 2 Oktober lalu.

“Kedua-dua mereka telah mendaftarkan diri dengan bayaran yuran pada kadar minimum untuk melanjutkan pengajian bersama-sama pelajar baharu pascasiswazah yang berjaya menerima tawaran memasuki UMK.

“Inisiatif ini adalah selaras dengan misi KPT Prihatin yang sentiasa cakna dengan kebajikan pelajar khususnya daripada golongan B40,” kata beliau.

Prof Razli turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan Bakul Kasih UMK kepada kedua-dua keluarga pelajar tersebut.

Beliau juga turut menyerahkan baju rasmi program Minggu Mesra Mahasiswa (3M) kepada Mohamad Zil dan Mohamad Firdaus.

Sementara itu, Mohamad Firdaus yang mendapat keputusan CGPA 3.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020, menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan di atas keprihatinan UMK.

Pelajar itu ternyata amat gembira dan terharu kerana berjaya melanjutkan pengajian di UMK dalam bidang pengajian yang amat diminatinya iaitu pengajian warisan.

“Keluarga saya tidak dapat menampung persediaan untuk ke universiti kerana masalah kewangan berikutan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang turut membataskan bapa untuk bekerja sebagai tukang rumah.

“Dengan pendapatan yang tidak seberapa menyebabkan keluarga tidak mampu untuk membayar yuran pendaftaran kerana bapa juga terpaksa menyara adik-adik yang masih bersekolah dan salah seorangnya adalah orang kurang upaya (OKU),” katanya yang berasal dari Kampung Serungga, Pasir Mas, Kelantan.

Manakala Mohamad Zil, dari Kampung Lubuk Kawah, Pasir Mas turut berdepan masalah yang sama kerana keluarganya hanya bergantung kepada pendapatan tidak seberapa hasil daripada bengkel kimpalan besi.

“Selain itu, keluarga saya juga terpaksa menyara lima orang adik yang masih bersekolah.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada UMK di atas bantuan ini. Dengan usaha dan keprihatinan ini saya dapat menyambung pengajian di UMK,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok