
Hafiz cilik, Ahmad Ziyyad hafaz 30 juzuk dalam tempoh 4 bulan 10 hari. Luar biasa!
Dalam suasana sunyi di sebuah rumah di Bukit Payung, Marang, Terengganu, alunan ayat-ayat suci al-Quran bergema tanpa gangguan bunyi peranti ataupun televisyen.
Hari demi hari Ahmad Ziyyad Mohd Zahir, 10, menyulam ayat-ayat suci itu ke dalam ingatan sehingga akhirnya dia berjaya menghafaz keseluruhan 30 juzuk al-Quran hanya dalam tempoh empat bulan 10 hari, satu pencapaian luar biasa bagi kanak-kanak seusianya.
Memiliki daya ingatan luar biasa dan minat mendalam terhadap al-Quran, Ahmad Ziyyad menamatkan hafazan al-Quran pada 23 Mac lepas menerusi program fast track di Akademi Al-Quran Amalillah, Terengganu, sebuah institusi tahfiz yang menawarkan program intensif khas buat pelajar berpotensi tinggi.
Menurut ibunya, Nurul Shahida Lukman, 35, anak sulung daripada tiga beradik itu menunjukkan minat luar biasa terhadap al-Quran sejak bayi, malah berjaya menghafal 42 surah termasuk surah panjang seperti al-Baqarah dan al-A'raf, hanya menerusi pendengaran pada usia dua tahun lapan bulan.

"Saya mula perasan Abe Yadd (Ahmad Ziyyad) minat pada al-Quran sejak bayi kerana saya sering mendodoikannya dengan bacaan al-Quran. Apabila tiba pada mana-mana ayat yang saya terlupa, dia akan menangis dan hanya diam apabila saya mulakan kembali alunan dari awal surah," kongsinya.
Melihat situasi itu, Nurul Shahida dan suami Mohd Zahir Mohammad Noor Sabri, 38, nekad memberi peluang terbaik kepada anak mereka sehingga sanggup berpindah dari Kota Bharu, Kelantan ke Marang, agar Ahmad Ziyyad boleh hadir secara harian ke akademi berkenaan.
"Abe Yadd bersekolah di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al-Fateh Kota Bharu, Kelantan tapi sayangnya disebabkan jadual persekolahan yang padat, hafalan al-Qurannya menjadi sedikit perlahan. Jadi kami membuat carian tentang program hafiz fast track untuk bantu dia maka terjumpalah Akademi Al-Quran Amalillah pada 2024.
"Akademi ini hanya terima pelajar berumur 10 hingga 15 tahun, namun dengan izin ALLAH, rezeki dia diterima masuk ke akademi tersebut semasa berusia sembilan tahun kerana kemampuannya menghafal beberapa potongan ayat dalam masa 10 minit sahaja, walhal kebanyakan pelajar lain memerlukan masa lebih panjang," katanya.
Bercerita lanjut, Nurul Shahida berkata, Ahmad Ziyyad mempunyai hyperlexia dan hypernumeric, iaitu kebolehan mengenal huruf dan nombor jauh lebih awal daripada usia kebiasaan, antara ciri umum yang dikaitkan dengan gangguan spektrum autisme.

"Bila dia baca al-Quran, dia tahu ayat dari surah apa, ayat ke berapa dan di muka surat mana. Dia suka kaji nama-nama ALLAH dalam al-Quran dan boleh jawab kalau ditanya. Mungkin semua itu berkait dengan nombor, sebab dia memang minat nombor," ujarnya.
Menurut suri rumah sepenuh masa itu, adakala emosi anaknya tidak stabil dan mudah menangis, namun selepas itu Ahmad Ziyyad dapat meneruskan hafazan dengan lebih baik.
Selepas berjaya bergelar hafiz, Ahmad Ziyyad kini kembali menyambung pengajian di SRITI Al-Fateh yang akan diteruskan hingga darjah enam, sebelum melangkah ke fasa seterusnya iaitu syahadah (proses memperakui hafalan di depan panel).
Bercerita lanjut, Nurul Shahida berkata, yang paling membanggakannya selaku ibu bukan pencapaian Ahmad Ziyyad semata-mata tetapi perubahan positif dalam keperibadian anak sulungnya itu seperti bersolat di awal waktu tanpa disuruh, selain membiasakan diri melakukan amalan sunat seperti solat tahajud.
"Dari segi emosinya sebagai anak autistik juga sudah terkawal. Perangainya kini seperti kanak-kanak lain dan kami lihat dia semakin matang serta menjadi contoh terbaik buat adik-adiknya," tambah Nurul Shahida.
Sementara itu, guru hafazannya, Nurfatihar Riduan berkata, Ahmad Ziyyad adalah antara pelajar cilik yang luar biasa di pusat tahfiz tersebut dengan prestasi mengagumkan apabila mampu menghafal satu muka surat al-Quran dalam tempoh 15 hingga 30 minit sahaja, bergantung pada tahap kerumitan ayat.

"Ahmad Ziyyad sangat fokus dan serius pada sasaran hafazan hariannya. Ada hari tertentu dia boleh tasmi' satu juzuk penuh dalam sehari manakala bacaan semakan atau mengulang pula mencecah dua hingga empat juzuk sehari.
"Yang paling menonjol ialah semangat luar biasa Ahmad Ziyyad sendiri serta sokongan hebat ibu bapanya yang sanggup berhijrah dari Kelantan ke Terengganu semata-mata untuk capai misi hafiz Ahmad Ziyyad," ujarnya. - Bernama