260721-pix uitm dunia
260721-pix uitm dunia

Hannah Mumtaz harumkan nama negara di peringkat dunia

Mariatul Qatiah Zakaria
26 Jul 2021 03:05pm
A
A
A

Disiplin diri, kekuatan mental dan juga pengurusan masa yang baik adalah resipi kejayaan pelajar Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Hannah Mumtaz Ahmad Murshidi, apabila dianugerahkan pencapaian tertinggi dalam peperiksaan program perakaunan professional sesi Jun 2021.

Pelajar berusia 21 tahun ini yang menuntut dalam jurusan Perakaunan Professional (JPPro) mendapat tempat pertama di Malaysia dan juga di dunia bagi kertas ‘Financial Management’ (FM) manakala kertas ‘Strategic Business Reporting’ (SBR), Hannah mendapat tempat pertama di Malaysia dan kedua di dunia.

Bercita-cita menjadi akauntan bertauliah, anak kelahiran Selangor ini bersyukur kerana dia mendapat sokongan padu yang berterusan daripada kedua ibu bapanya, guru dan pensyarah.

Walaupun terpaksan belajar melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan negara masih berdepan pandemic Covid-19, ia tidak menghalang anak sulung daripada dua adik beradik ini untuk berjaya.

“Keadaan ini (Covid-19) menguatkan lagi semangat saya walaupun berdepan cabaran sepanjang proses pembelajaran atas talian.

“Disiplin diri serta kekuatan mental merupakan cabaran terbesar yang dihadapi bagaimanapun pengurusan masa yang baik adalah perlu dalam memastikan supaya sesi ulang kaji dapat diatur tanpa mengorbankan waktu untuk diri dan keluarga.

“Oleh itu konsistensi sepanjang semester dan juga perbincangan bersama pensyarah dan rakan sekuliah antara kaedah yang selalu saya amalkan,” ujarnya.

JPPro merupakan program professional yang ditubuhkan hasil kerjasama di antara Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM), UiTM dan ACCA Malaysia.

Melalui program ini, pelajar boleh terus mengikuti ACCA tanpa perlu mengikuti program Certified Accounting Technician (CAT).

Bercerita lebih lanjut mengenai pemilihan subjek, Hannah Mumtaz menjelaskan dia sememangnya meminati perakaunan sejak di bangku sekolah dan minat itu bertambah apabila ditawarkan untuk mengikuti program JPPro.

Katanya lagi, tempoh pengajian yang singkat serta prospek kerjaya sebagai akauntan bertauliah membuatkan dirinya semakin yakin untuk menyambung pengajian di UiTM.

Sebelum menamatkan pengajian dan mendapat kelayakan ACCA, Hannah Mumtaz masih berbaki tiga lagi kertas.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok