pdrm2
pdrm2

HCTM UKM bakal wujudkan wad PDRM

Nor Azma  Muhamat Laila
10 Feb 2022 04:15pm
A
A
A

BANGI – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal mewujudkan Wad Polis Diraja Malaysia (PDRM @ HCTM) di hospital berkenaan tidak lama lagi.

Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, idea mewujudkan Wad PDRM @ HCTM adalah hasil daripada pertemuan pengurusan tertinggi kedua-dua pihak iaitu UKM dan PDRM pada tahun lalu.

“PDRM merupakan antara anggota keselamatan utama negara yang berhadapan dengan risiko tinggi, Justeru itu, UKM tampil menawarkan perkhidmatan kesihatan kepada PDRM dengan menyediakan wad ini untuk keselesaan anggota,” katanya ketika berucap sempena lawatan Ketua Polis Negara dan Taklimat Wad PDRM @ HCTM, di sini, baru-baru ini.

Delegasi PDRM ke UKM diketuai oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Mohd Ekhwan berkata, kolaboratif antara PDRM dan UKM sudah lama terjalin iaitu menerusi penawaran program diploma untuk pegawai kanan PDRM.

“Pada tahun 2005 dan 2017, kerjasama ini diperkukuhkan lagi dengan termeterainya perjanjian kerjasama antara PDRM dengan UKM melalui penawaran Program Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dan Diploma Siswazah Sains Kepolisan.

“Sehingga kini seramai 496 pegawai kanan PDRM telah menamatkan pengajian bagi kedua-dua program dengan jayanya,” ujarnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Sementara itu, Acryl Sani dalam ucapannya berkata, projek Wad PDRM @ HCTM adalah lembaran baharu yang dibuat oleh UKM kepada PDRM.

“Terima kasih kepada UKM, khususnya HCTM yang menghulurkan tangan untuk sama-sama membantu warga PDRM dengan penyediaan wad yang serba moden ini.

“Saya harap projek ini akan berjalan dengan lancar dan menepati sasaran masa yang telah kita tetapkan. Saya juga berharap agar kerjasama ini akan dapat dimantapkan dan diteruskan lagi di masa akan datang,” tuturnya.

Beliau turut memberitahu bahawa jika wad itu direalisasikan, pihaknya akan menjadikan projek tersebut sebagai platform kepada perbincangan dengan hospital pembelajaran yang lain seperti Hospital Pembelajaran Universiti Putra Malaysia di Serdang dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan.

Mengikut perancangan, Wad PDRM @ HCTM bakal menempatkan sebuah bilik rawatan VIP, empat bilik rawatan berdua, 11 ruang kubikel atau wad terbuka, ruang menunggu atau ruang tetamu dan ruang sokongan klinikal.

Wad berkenaan dijangka disiapkan pada Januari 2023 dengan anggaran kos sebanyak RM6.3 juta.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok